Dua Pengadil Malaysia Adili Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2021, India

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) berbesar hati dengan penghormatan yang diberikan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) apabila melantik dua pengadil daripada Malaysia iaitu Ilanggo Kanabathu dan Eric Koh untuk bertugas di Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2021, Bhubaneswar, India.

Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2021 akan membuka tirai pada 24 November hingga 5 Disember 2021 dan perlantikan dua pengadil daripada Malaysia oleh FIH juga membuktikan bahawa pengadil daripada Malaysia mempunyai kualiti yang tersendiri sehingga mendapat kepercayaan daripada badan induk hoki dunia itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil KHM, En. Ranjit Singh melihat lantikan dua pengadil daripada Malaysia ini boleh dijadikan sebagai pembakar semangat untuk pengadil yang lain agar meningkatkan prestasi mereka untuk turut dilantik bagi mengadili kejohanan antarabangsa pada masa hadapan.

“Saya bagi pihak jawatankuasa berasa bangga kerana ada dua pengadil Malaysia yang bertugas di Piala Dunia Remaja dan kami sangat berbangga dengan mereka.

“Saya berharap dengan adanya dua pengadil daripada Malaysia di Piala Dunia Remaja ini akan menjadi pendorong kepada pengadil yang lain untuk meningkatkan lagi prestasi mereka agar mereka juga boleh dinaiktaraf.

“Pada mulanya Ilanggo dilantik oleh FIH untuk mengadili kejohanan tersebut namun selepas pengadil daripada Australia menarik diri ekoran pandemik Covid-19, FIH melantik Eric. Ini menyaksikan edisi Piala Dunia Remaja Lelaki kali ini, terdapat dua pengadil daripada Malaysia akan mengadili kejohanan tersebut.

“Sebelum ini kami telah menghantar Ilanggo untuk bersama Skuad Senior Lelaki Kebangsaan di Siri Jelajah United Kingdom 2021, untuk mengadili perlawanan di sana termasuk perlawanan ujian sebagai salah satu persediaan buatnya. Sedikit sebanyak pengalaman di sana diharap akan membantu Ilanggo sebelum mengadili perlawanan di Piala Dunia Remaja Lelaki.

“Ketika membuat keputusan untuk menghantar Ilanggo bersama Pasukan Kebangsaan, Eric masih belum dilantik oleh pihak FIH, kerana itu, kami hanya menghantar Ilanggo.

“Bagaimanapun Eric merupakan seorang pengadil yang cukup berpengalaman dan telah mengadili Kejohanan Hoki Piala Dunia Lelaki 2018 juga di Bhubaneswar, India. Jadi pengalaman Eric tentu akan membantu beliau dan kedua-dua pengadil kini telah bersedia sepenuhnya menjelang kejohanan tersebut.

“Kami berharap di masa hadapan dalam kejohanan seperti Sukan Olimpik dan Piala Dunia akan ada lebih ramai pengadil daripada Malaysia yang akan bertugas dan kami berharap Piala Dunia Remaja ini akan menjadi pembakar semangat untuk pengadil yang lain meningkatkan tahap mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, En. Ranjit turut berkongsi mengenai perancangan Jawatankuasa Pengadil KHM untuk menggunakan kesibukan kalendar kejohanan antarabangsa 2022 sebagai platform untuk menghantar lebih ramai pengadil ke kejohanan antarabangsa bagi menaikkan lagi taraf pengadil Malaysia.

“Malaysia kini memiliki 11 pengadil bertaraf antarabangsa serta 30 pengadil dalam Kelas 1 dan pengadil yang berada di dalam Kelas 1 ini sangat penting untuk kami kerana jika prestasi mereka di tahap terbaik, kami boleh menghantar mereka untuk dinaiktaraf ke pengadil dalam kelas antarabangsa.

“Kami juga merancang untuk menghantar pengadil yang berada di dalam kelas antarabangsa untuk mengadili lebih banyak perlawanan antarabangsa. Kami akan melihat kejohanan-kejohanan yang ada agar proses menaiktaraf tahap pengadil Malaysia akan dapat terus berjalan,” tambahnya lagi.

Perlantikan Ilanggo dan Eric menjadi satu kebanggan buat KHM dan KHM mengucapkan tahniah buat Ilanggo dan Eric serta selamat menjalankan tugas dengan baik di Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2021, Bhubaneswar, India.

Recent Posts

Leave a Comment