Pahang Juarai Kumpulan C, Terengganu Ke Pusingan Seterusnya Selaku Juara Kumpulan B

PAHANG berpesta gol dengan menumpaskan KELANTAN 12-1 untuk menjuarai Kumpulan C, sekaligus mengatasi Kuala Lumpur yang muncul naib juara Kumpulan pada Kejohanan Hoki TNB Piala Tun Abdul Razak Ke-59 (Lelaki) di Stadium Hoki Nasional hari ini.

Pada satu lagi perlawanan Kumpulan C, KUALA LUMPUR menarik nafas lega apabila mengesahkan tempat ke pusingan XY selepas menundukkan ATM 6-2 untuk meraih kedudukan kedua kumpulan biarpun terikat dengan 9 mata dengan Pahang, yang muncul selaku juara dengan kelebihan berdasarkan jumlah jaringan gol 18 berbanding 17 gol Kuala Lumpur.

Pahang nyata terlalu ampuh buat Kelantan yang terpaksa menerima hakikat berkesudahan di tangga terakhir pada kempen kali ini.

Muhammad Idris Samad mencatat nama sebagai penjaring hatrik (minit ke-35, 36, 54), manakala Ismail Abu (minit ke-8, 19) Muhammad Hafiz Zainol (minit ke-34, 35) dan Syamil Azim Dzulkafly (minit 48, 50) masing menyumbang dua gol sementara Mohamad Harris Iskandar Osman (minit 42), Muhammad Izham Azhar (minit ke-46) dan Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini (minit ke-58) masing-masing menjaringka satu gol buat Pahang.

Kuala Lumpur turun dengan keyakinan tinggi, menyerlah pada dua suku terakhir untuk perlawanaan untuk mengetepikan cabaran ATM yang turun sebagai pendahulu kumpulan dengan 7 mata.

Selepas gol awal Muhammad Amirol Aideed Arshad pada minit ke-6, ATM menyamakan kedudukan menerusi Mohamad Sufian Masrom pada minit ke-31.

Kuala Lumpur bangkit pada suku ketiga dan berhasil membolosi gawang ATM menerusi Mohammad Syamin Yusof (minit ke-38), Muhammad Sabri Mohamad (40) dan Danial Asyraf Abdul Ghani (51) sebelum ATM cuba merapatkan jurang menerusi Mohd Yazid pada minit ke-53.

Jaringan padang Muhammad Shahfirul Azmal Muhd Saiful (minit ke-57) dan Wan Hisyamuddin Wan Amer Ruzman dua minit sebelum permainan tamat melengkapkan kemenangan besar Kuala Lumpur.

“Kami terpaksa bersabar dan cuba mendapatkan seberapa banyak pukulan penalti sudut dan gol ketiga mengubah momentum permainan. Untuk saingan seterusnya, kami akan terus memperbaiki beberapa kelemahan seperti kekerapan melakukan kesilapan mudah,” kata pengendali Kuala Lumpur James Murthy.

Dalam saingan Kumpulan B, persaingan untuk mencari satu lagi pasukan yang layak ke pusingan XY berlangsung sengit selepas saatu slot telah diisi terlebih dahulu oleh Melaka semalam. Baki satu slot yang tinggal diisi  TERENGGANU selepas menumpaskan NEGERI SEMBILAN 3-2 yang sekaligus menyaksikan mereka turut dinobatkan selaku juara Kumpulan B.

Negeri Sembilan turun dengan misi mesti menang dikecewakan dengan gol kemenangan Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran pada minit ke-42 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Mohd Shahrun Nabil Abdullah sebelum itu mencetak gol buat Terengganu pada minit ke-27 dan 37 manakala Negeri Sembilan menggegar gawang menerusi Shahmie Irfhan Suhaimi (minit ke-6 dan 40).

Birapun menang, pengendli Terengganu K. Rajan tidak berpuashati dengan prestasi anak buahnya yang dianggap mempamerkan prestasi paling buruk setakat ini. “Tidak ikut arahan, banyak kesilapan dan sebagainya. Jadi kita akan perbaiki semua ini hadapi pusingan XY nanti,” kata beliau.

Sementara itu, Perlis melengkapkan saingan kejohanan dengan satu-satunya kemenangan 2-1 ke atas Kedah.

Undian bagi pusingan seterusnya, Kumpulan X-Y menyaksikan Kumpulan X diisi oleh PDRM, Terengganu dan Pahang sementara Kumpulan Y dihuni oleh Perak, Melaka dan Kuala Lumpur bagi merebut empat slot ke separuh akhir TNB Piala Tun Abdul Razak (Lelaki) 2021.

Recent Posts

Leave a Comment