Pahang Raih Kemenangan Pertama, Melaka-Kedah Kongsi Satu Mata

Aksi pusingan kedua, TNB Piala Tun Abdul Razak (Wanita) 2021 yang bersambung hari ini menyaksikan Pahang berjaya meraih kemenangan pertama bagi saingan Kumpulan X selepas menewaskan Selangor 2-1 sementara Kedah dan Melaka terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata dalam saingan Kumpulan Y.

Kemenangan pertama Pahang mencerahkan peluang mereka untuk merebut slot di pusingan separuh akhir sebagai wakil daripada Kumpulan X dan turun bertemu Kuala Lumpur esok, Pahang hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan tempat mereka.

Melaka pula bagaimanapun tiada pilihan lain dan perlu melakar kemenangan ketika bertemu Pulau Pinang esok bagi aksi terakhir mereka dalam Kumpualn Y untuk menghidupkan peluang mereka ke separuh akhir.

Dalam pertemuan sengit antara Pahang dan Selangor, Pahang dipaksa untuk melakukan kebangkitan dalam melakar kemenangan hari ini selepas Selangor terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-9 hasil kelebihan pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Ellya Amanina Ellias.

Memasuki suku kedua, Pahang segera menyamakan kembali kedudukan apabila Nur Shazwani Zakaria berjaya merobek gawang Selangor pada minit ke-21 hasil gerakan padang sebelum Thiba Tharshini James menyumbang gol kemenangan Pahang juga menerusi gol padang pada minit ke-46.

Pengendali pasukan Pahang, Mohamad Sabri Mohamad bersyukur dengan kemenangan yang diraih oleh skuad bimbingannya dan menyifatkan persediaan termasuk melakukan analisis pukulan sudut penalti Selangor sebelum aksi hari ini berhasil apabila Pahang berjaya untuk menyekat beberapa kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki Selangor.

“Suku pertama kami bermula dengan kurang keyakinan tetapi selepas pemain menjaringkan gol penyamaan, kami berjaya untuk bangkit dan perbetulkan kembali posisi pemainan kami serta berjaya menghasilkan gol kedua.

“Alhamdulillah pemain-pemain berjaya untuk menyekat Selangor daripada menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti, tetapi saya agak risau apabila kami memiliki kelebihan untuk menjaringkan gol padang namun sedikit tumpul.

“Walaupun kami kekurangan masa untuk memperbaiki kekurangan tersebut tetapi saya dan pemain akan cuba untuk memperbetulkan setiap kelemahan kami,” jelasnya.

Sementara itu perebutan slot ke separuh akhir bagi kumpulan Y masih lagi terbuka selepas Melaka dan Kedah terpaksa berpuas hati dengan satu mata yang dikongsi hasil keputusan seri 2-2 yang dicatat mereka hari ini.

Kedah bagaimanapun berjaya untuk membuka tirai jaringan terlebih dahulu pada minit ke-17 hasil gol padang penyerang kebangsaan, Nuramirah Shakirah Zulkifli sebelum Melaka kembali mengejar kedudukan juga hasil gol padang seminit kemudian menerusi Nur Shamine Azureen Mohammed Badushah.

Kedudukan tersebut kekal menutup separuh masa pertama dan bersambung aksi separuh masa kedua, Kedah sekali lagi dihadapan menerusi gol Nur Safawati Najwa Fadzil pada minit ke-42 dan seminit sebelum masa perlawanan tamat, Melaka memusnahkan impian Kedah untuk mengutip tiga mata apabila Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin menjaringkan gol penyamaan untuk perlawanan berakhir 2-2.

Perlawanan menentukan kedudukan 7 hingga 12 pula pertemuan Sabah dan PDRM bagi Kumpulan Z tamat dengan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata tanpa sebarang jaringan terhasil.

Bagi aksi Kumpulan W pula, Negeri Sembilan dan Perak turut membawa pulang satu mata apabila perlawanan tamat dengan keputusan seri 1-1.

Negeri Sembilan terlebih dahulu meledak gol pada minit ke-36 menerusi gerakan padang Nurul Azlin Zulkiflee sebelum Perak menyamakan kedudukan hasil kelebihan pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Amira Natasha Abu Hashim beberapa saat kemudian dan kedudukan kekal hingga tamat perlawanan.

 

JADUAL PERLAWANAN (Khamis, 17/11/21)

Wanita

Kumpulan X-Y (9.30 pagi)

NHS 1 (Kumpulan Y) : Melaka mln Penang

NHS 2 (Kumpulan X) : Pahang mln Kuala Lumpur

 

Kumpulan W-Z (7.30 pagi)

NHS 1 (Kumpulan W) : Negeri Sembilan mln Terengganu

NHS 2 (Kumpulan Z) : Sabah mln Sarawak

Recent Posts

Leave a Comment