Slot Separuh Akhir Bakal Ditentukan Esok

Empat slot separuh akhir Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak (Wanita) 2021 hanya akan ditentukan esok selepas perlawanan terakhir Kumpulan X dan Y ekoran kutipan mata setakat dua perlawanan menyaksikan tiada mana-mana pasukan yang dapat mengesahkan tempat mereka.

Aksi yang berlangsung hari ini berkesudahan dengan Kuala Lumpur meraih kemenangan 1-0 ke atas Pahang yang menewaskan Selangor, 2-1 semalam sementara Melaka yang mengikat Kedah 2-2 semalam mencatat keputusan seri kedua berturut-turut apabila pertemuan dengan Penang hari ini berkesudahan tanpa sebarang jaringan.

Gol tunggal Kuala Lumpur hadir pada minit ketiga menerusi gol padang yang dijaringkan oleh Nur Zafirah Aziz dan keputusan seri bertemu Selangor esok sudah cukup untuk membawa Kuala Lumpur ke separuh akhir namun, Selangor perlu mencari kemenangan untuk turut layak secara rasmi sebagai wakil Kumpulan X.

Pengendali Kuala Lumpur, Kannagi Arumugam, menyifatkan pertemuan dengan Pahang bukan satu perlawanan yang mudah buat anak-anak buahnya dan jaringan pada awal perlawanan membantu kemenangan mereka hari ini.

“Pahang bukan pasukan yang biasa-biasa. Pertemuan dengan Pahang juga bukan sesuatu yang mudah buat kami. Walaupun kami banyak melakukan serangan, tetapi kami masih tidak berjaya untuk menukarnya kepada jaringan.

“Pertemuan dengan Kuala Lumpur esok akan menjadi penentu untuk dua pasukan layak ke separuh akhir dan saya berharap pasukan saya akan bermain mengikut strategi yang telah kami rangka.

“Saya yakin pertemuan dengan Selangor tidak mudah dan mereka akan memberikan tentangan yang hebat kepada kami. Saya akan pastikan pemain-pemain saya akan bermati-matian untuk kami layak ke separuh akhir,” jelas A. Kannagi.

Sementara bagi saingan Kumpulan Y pula, aksi Melaka dan Penang hari ini tamat dengan kedua-dua pasukan buntu untuk meledak sebarang gol dalam tempoh 60 minit perlawanan dan menyaksikan satu mata dikongsi oleh mereka.

Pertemuan Kedah dan Pulau Pinang esok bakal menjadi penentu dengan Pulau Pinang perlu meraih kemenangan jika mahu ke separuh akhir secara mutlak sementara Kedah pula hanya memerlukan keputusan seri untuk mereka mengesahkan slot ke separuh akhir.

Bagi pengendali Pulau Pinang, Siti Rahmah Othman, pemain-pemainnya bermain dengan rentak perlahan hari ini sehingga tiada sebarang gol berjaya dihasilkan dan beliau menuntut pemain-pemainnya kembali fokus mencari kemenangan pada perlawanan terakhir Kumpulan Y, bertemu Kedah, esok.

“Kami meletakkan sasaran untuk mencari kemenangan pada perlawanan hari ini, kerana kemenangan akan membuatkan kami lebih selesa untuk ke separuh akhir.

“Pemain seakan hilang fokus sedikit hari ini selepas mendapat rehat dua hari dan saya berharap meraka akan kembali fokus sepenuhnya untuk pertemuan dengan Kedah esok.

“Saya mahu pemain tidak memandang mudah siapa lawan kami serta perlu menghormati mereka selain kami perlu memperbaiki struktur permainan kami dan perlu mendapatkan kemenangan pada perlawanan terakhir esok.

“Tekanan memang ada kerana kami terdesak mahukan kemenangan, tetapi saya akan tetap memberikan motivasi kepada pemain untuk mereka kekal fokus dan sedar sasaran kami untuk perlawanan esok iaitu kemenangan,” jelasnya.

Keputusan lain-lain perlawanan bagi penentuan kedudukan tangga ke-7 hingga 12 kejohanan menyaksikan aksi bagi Kumpulan Z berkesudahan dengan jaringan tunggal Suhaila Sata menerusi gerakan padang menghadiahkan Sarawak tiga mata berharga menewaskan Sabah 1-0.

Negeri Sembilan pula yang berada di Kumpulan W turut mengutip tiga mata berharga selepas menewaskan Terengganu 2-0 hasil dua gol Nurfatin Dizana Mohd Zaidi yang menjaringkan gol menerusi Penalti Stroke juga gerakan padang, masing-masing pada minit ke-50 dan 54.

 

JADUAL PERLAWANAN (Jumaat, 19/11/21)

Wanita

Kumpulan X-Y (9.30 pagi)

NHS 1 (Kumpulan X) : Selangor mln Kuala Lumpur

NHS 2 (Kumpulan Y) : Kedah mln Penang

 

Kumpulan W-Z (7.30 pagi)

NHS 1 (Kumpulan W) : Perak mln Terengganu

NHS 2 (Kumpulan Z) : PDRM mln Sarawak

Recent Posts

Leave a Comment