Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Pahang, Melaka Ke Separuh Akhir

Empat slot separuh akhir Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak (Wanita) 2021 secara rasminya menjadi milik Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Pahang dan Melaka selepas tamat perlawanan terakhir Kumpulan X-Y yang berlangsung pagi ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Keputusan seri tanpa jaringan pada pertemuan Kuala Lumpur dan Selangor sudah cukup untuk Kuala Lumpur mengesahkan tempat mereka di pentas separuh akhir sementara kebangkitan Pulau Pinang menewaskan Kedah 4-2 berjaya memastikan salah satu slot separuh akhir milik mereka.

Turun dengan misi wajib menang untuk memastikan kemaraan ke pentas separuh akhir, Pulau Pinang dikejutkan terlebih dahulu dengan gol Kedah seminit sejurus aksi suku kedua bermula apabila kelebihan pukulan sudut penalti tidak dipersiakan oleh Nuramirah Shakirah Zulkifli.

Tersentak dengan gol tersebut, Pulau Pinang yang dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti seminit selepas itu mengikat kembali kedudukan apabila Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad menterjemahkan kelebihan tersebut kepada jaringan.

Kedah kembali dihadapan pada minit ke-29 hasil gol gerakan padang Nurul Aqilah Auni Rohaizat dan kedudukan 2-1 memihak Kedah menutup aksi separuh masa pertama.

Bersambung suku ketiga, Pulau Pinang sekali lagi bangkit untuk mengejar kedudukan tersebut kali ini hasil gerakan padang Siti Nur Arfah Mohd Nor, pada minit ke-38, untuk kedua-dua pasukan kembali terikat 2-2.

Sepuluh minit sebelum aksi sebenar perlawanan tamat, jaringan kemenangan Pulau Pinang hadir menerusi dua gol padang Nur Aisyah Nasir pada minti ke-50 dan minit ke-52 yang sekaligus membawa Pulau Pinang ke pentas separuh akhir.

Aisyah Nasir yang menjadi salah satu watak penting dalam kemenangan Pulau Pinang hari ini di mana dua jaringan padang olehnya membawa Pulau Pinang ke pentas separuh akhir selaku juara Kumpulan Y, tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya kerana berjaya membantu pasukannya untuk beraksi di separuh akhir, esok.

“Alhamdulillah saya bersyukur atas kemenangan yang kami raih dan saya yakin dengan izin Allah selain usaha kami sepasukan kami meraih kemenangan ini. Saya juga bersyukur kerana diri saya sendiri dapat bermain dengan baik hari ini serta menjaringkan dua gol untuk pasukan.

“Ketika kami berjaya mengikat kedudukan 2-2, kami yakin baki perlawanan yang tinggal kami mampu untuk bangkit selain terus bermain dengan bersungguh-sungguh sehingga meraih kemenangan.

“Untuk aksi seterusnya, kami akan memberikan fokus yang lebih dan tidak akan mengambil mudah perlawanan yang tinggal. Kami juga akan terus bermain dengan bersemangat sebagai satu pasukan,” jelasnya yang telah menjaringkan tiga gol padang buat Pulau Pinang.

Satu lagi aksi bagi menentukan pasukan ke separuh akhir menyaksikan Kuala Lumpur dan Selangor terikat 0-0. Satu mata yang diraih oleh Kuala Lumpur daripada aksi hari ini cukup untuk membawa mereka ke separuh akhir sebagai juara kumpulan X.

Kemenangan 1-0 ke atas Pahang semalam nyata membantu Kuala Lumpur untuk mengesahkan slot separuh akhir selaku juara kumpulan dengan empat mata secara keseluruhan dikumpul sementara Pahang, naib juara kumpulan hasil tiga mata yang diraih ketika menewaskan Selangor sebelum ini mengiringi Kuala Lumpur ke separuh akhir.

Selangor yang dilihat mendominasi aksi dengan Kuala Lumpur hari ini buntu untuk meledak jaringan apabila deretan peluang dan kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki tidak berjaya diterjemahkan kepada jaringan.

Bagi pengendali Kuala Lumpur, Kannagi Arumugam, anak-anak buahnnya bermain bermati-matian untuk memastikan satu mata yang dicari oleh mereka berjaya diperolehi untuk muncul selaku juara kumpulan serta memuji barisan pemainnya yang telah melakukan sehabis baik pada aksi hari ini.

“Aksi hari ini kami hanya memerlukan keputusan seri tetapi Selangor memerlukan tiga mata dan mereka bermain dengan baik namun mereka tidak menjaringkan gol. Kami berjaya untuk mematahkan pukulan sudut penalti yang mereka miliki selain menidakkan peluang mereka untuk menjaringkan gol.

“Untuk pertemuan separuh akhir, kami akan bertemu Melaka yang dibarisi bekas-bekas pemain kebangsaan jadi pasukan saya sendiri perlu memantapkan lagi persediaan untuk bertemu mereka kerana Melaka antara pasukan yang sangat baik.

“Kami perlu membuat persediaan yang lebih rapi untuk bertemu Melaka,” ujarnya.

Dalam pada itu aksi terakhir bagi Kumpulan W dan Z menyaksikan Terengganu menewaskan Perak 4-1 bagi saingan Kumpulan W sementara Sarawak menundukkan PDRM 3-0 bagi aksi terakhir Kumpulan Z.

Dengan berakhirnya aksi bagi Kumpulan W dan Z, kedudukan dalam Kumpulan menyaksikan Negeri Sembilan muncul pendahulu Kumpulan W diikuti Terengganu dan Perak. Bagi Kumpulan Z pula, Sarawak muncul pasukan teratas kumpulan diikuti Sabah dan PDRM

Kedudukan terakhir ini sekaligus menyaksikan Negeri Sembilan akan membuat perhitungan dengan Sarawak bagi mencari pemenang tempat ke-7 dan ke-8, Terengganu akan bertemu Sabah bagi penentuan kedudukan ke-9 dan ke-10 sementara kedudukan tempat ke-11 dan ke-12 akan menemukan Perak dan PDRM.

 

JADUAL PERLAWANAN (Sabtu, 20/11/21)

Wanita

Perlawanan 6.00 Petang

NHS 1 (Separuh Akhir 1) : Kuala Lumpur mln Melaka

NHS 2 (Separuh Akhir 2) : Pulau Pinang mln Pahang

 

Perlawanan 7.30 Pagi

NHS 1 (Kedudukan 9-10) : Terengganu mln Sabah

NHS 2 (Kedudukan 11-12) : Perak mln PDRM

Recent Posts

Leave a Comment