Separuh Akhir: Melaka Isi Slot Terakhir, Terengganu Berdepan Perak

MELAKA melangkah ke separuh akhir walaupun mencatatkan keputusan seri 0-0 dengan KUALA LUMPUR pada saingan terakhir Kumpulan Y, Kejohanan Hoki TNB Piala Tun Abdul Razak (Lelaki) ke-59 di Stadium Bukit Jalil malam ini.

Melaka yang mengisi slot terakhir akan menentang Pahang pada saingan separuh akhir di Padang 1, esok.

Pahang, yang sebelum ini telah mengesahkan tempat di separuh akhir, menamatkan saingan Kumpulan X dengan kemenangan 3-2 ke atas naib juara tahun lepas, Terengganu, dan sekaligus mengangkat Pahang juara Kumpulan X dengan 6 mata penuh.

Terengganu terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Fitri Saari yang menjaringkan gol peribadi kesembilan beliau pada minit ke-11 sebelum Tuan Muhammad Afiq Tuan Ghani menggandakan jaringan pada minit ke-12.

Bagaimanapun Pahang segera merapatkan jurang gol menerusi Muhammad Idris Samad pada minit ke-13 dan sebelum aksi separuh masa pertama berakhir Muhammad Hafiz Mohd Zauri menjaringkan gol penyamaan buat Pahang pada minit ke-30.

Muhammad Idris Samad memastikan kemenangan mutlak Pahang apabila menyudahkan kelebihan pukulan sudut penalty yang juga merupakan jaringan kedua beliau dalam perlawanan tersebut pada minit ke-48.

“Saya terapkan semangat untuk menang pada setiap perlawanan di kalangan pemain dan nyata mereka komited. Alhamdulillah tiada kecederaan dan kami bersedia untuk berdepan Melaka esok,” kata jurulatih Pahang Sufian Mohamad.

Satu lagi saingan separuh akhir esok akan menyaksikan ulangan perlawanan akhir tahun lepas apabila Terengganu berdepan Perak untuk merebut tempat di final. Pada final tahun lalu, Perak menewaskan Terengganu untuk muncul selaku juara.

Pengendali Terengganu, K. Rajan berkata tumpuan pasukan hari ini ialah untuk menyiapkan diri sebaik mungkin untuk saingan separuh akhir esok.

“Menang atau kalah tidak penting hari ini, yang utama ialah memastikan pemain berhabis-habisan esok untuk melangkah ke akhir. Hari ini saya banyak turunkan pemain SUKMA untuk beri pendedahan,” kata Rajan.

Dalam pada itu, jurulatih Melaka, Hazlan Hamzah pula nyata lega biarpun aksi terakhir hari ini berkesudahan dengan seri dan ianya sudah cukup untuk melayakkan mereka ke separuh akhir esok, menduduki tangga kedua kumpulan di belakang Perak.

“Memang kami ada sedikit kelebihan hari ini kerana jelas sekali, Kuala Lumpur nampak agak keletihan selepas bermain bermati-matian menentang Perak semalam. Tetapi banyak kesilapan pemain hari ini dan peluang pukulan sudut penalti banyak disia-siakan. Jadi kami akan menyiapkan diri dengan lebih baik apabila berdepan Pahang esok,” kata beliau.

Keempat-empat pasukan esok akan turun dengan satu misi iaitu merebut slot final TNB Piala Tun Abdul Razak (Lelaki) 2021 akan berlangsung pada Ahad ini jam 8.30 malam di Padang 1, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

 

JADUAL PERLAWANAN (Sabtu, 20/11/21) 

 Lelaki

 NHS 1: Separuh Akhir 1: Pahang mln Melaka (8.00 mlm)

NHS 2: Separuh Akhir 2: Perak mln Terengganu (8.00 mlm)

Recent Posts

Leave a Comment