PERAK, PAHANG KE FINAL

Juara bertahan PERAK dan semi-finalist tahun lalu, PAHANG layak ke final Hoki TNB Piala Tun Abdul Razak (Lelaki) ke-59 apabila mengatasi lawan masing-masing pada separuh akhir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam ini.

Perak, yang menumpaskan Terengganu untuk menjuarai kejohanan tahun lepas, sekali lagi lagi menghampakan skuad Pantai Timur itu apabila menang 2-0 untuk layak ke pentas akhir buat kali ke-6 dalam tempoh 10 tahun.

Manakala, perlawanan antara Melaka dan Pahang terpaksa ditentukan menerusi penalti shootout apabila kedua-dua pasukan terikat seri 2-2 selepas masa penuh.

Pahang layak apabila mengetepikan Melaka dengan aggregat 4-3.

Melaka terlebih dahulu mempamerkan corak kemas untuk mendahului Pahang 2-0 pada separuh masa menerusi ledakan awal minit ke-4 Amirullah Zainol dan jaringan strok penalti Mohamad Faid Farhadh Mohamad Shah yang seakan memberikan harapan buat Melaka.

Namun, Pahang bangkit di suku ketiga dengan dua gol penyamaan Tengku Nasrul Ikmal pada minit ke-37 untuk merapatkan jurang. Pahang meningkatkan momentum dan tidak memberikan ruang buat Melaka menerusi asakan bertali arus yang akhirnya membuahkan gol penyamaan menerusi penjaring terbanyak Muhammad Idris Samad pada minit ke-38.

Dengan keputusan berkesudahan 2-2, perlawanan ditentukan menerusi penalti shootout yang berpihak kepada Pahang.

Jurulatih Pahang, Mohd Sufian Mohamad berkata: “Syukur kerana pasukan lelaki dan juga skuad wanita Pahang mara ke akhir. Tahniah buat pemain yang memang tidak pernah putus asa dan final keempat ini pastinya sesuatu yang amat manis,” kata beliau.

Dalam satu lagi separuh akhir, Perak memastikan penampilan final buat kali keenam selain  meneruskan buruan kejuaraan ke-10 selepas mengetepikan naib juara tahun lepas, Terengganu 2-0.

Mohamad Izad Hakimi Jamaluddin menjaringkan gol peribadi keempat dalam kejohanan apabila menemui sasaran pada minit ke-7 untuk meletakkan Perak di depan sebelum Arif Sabron memastikan kemenangan menerusi jaringan padang pada minit ke-46.

Jurulatih Perak, Abdul Sukur Adam lega dengan kejayaan anak buahnya menepati sasaran mara ke final: “Saya puashati dengan komitmen dan keyakinan tinggi pemain.

“Kami dah sediakan segala perancangan dan taktikal dan pemain nyata dapat menggalas tanggungjawab di atas padang. Saya harap pemain terus menyemat keyakinan tinggi apabila beraksi menentang Pahang esok.”

Final esok merupakan ulangan perlawanan akhir 2014 yang menyaksikan Perak menang 1-0 ke atas Pahang untuk muncul juara Piala Tun Abdul Razak edisi ke-53.

 

WANITA: PAHANG-KUALA LUMPUR BERENTAP DI FINAL

Saingan final wanita esok juga akan menampilkan aksi PAHANG yang akan berentap menentang KUALA LUMPUR untuk merebut kejuaraan edisi ke-6.

Pahang memburu kejuaraan buat kali ketiga selepas mengungguli kejohanan pada 2016 dan tahun lepas.

Gol Nuriza Sulaiman pada minit ke-9 sudah cukup menjulang kejayaan Pahang menundukkan Pulau Pinang 1-0 untuk mara ke final seterusnya berada di landasan tepat untuk mencari kejuaraan ketiga mereka.

“Kami agak kurang dari segi serangan tetapi berjaya dari segi pertahanan yang menjadi kunci kemenangan hari ini. Menentang Kuala Lumpur esok sudah tentu sengit kerana Kuala Lumpur merupakan pasukan pilihan. Tapi saya yakin dengan semangat tinggi pemain kami,” kata jurulatih Pahang Mohd Sabri Mohamad.

Pertembungan separuh akhir antara KUALA LUMPUR dan MELAKA sebelum itu berlangsung penuh dramatik dengan penyerang Kuala Lumpur Nur Zafirah Aziz muncul wira apabila meledak gol kemenangan dengan perlawanan hanya berbaki 10 saat.

Kemenangan 1-0 ke atas Melaka dianggap manis buat pengendali Kuala Lumpur yang memuji tindakan ketua pasukan Nur Syafiqah Mohd Zain yang memanfaatkan rujukan video untuk memastikan kemenangan buat Kuala Lumpur.

“Kita terlepas banyak peluang keemasan tetapi kebijaksanaan kapten pasukan berjaya menenangkan pemain. Esok kami kena lebih bersedia untuk pastikan peluang sudut penalti tidak disia-siakan,” kata A. Kannagi.

 

JADUAL PERLAWANAN AKHIR (Ahad, 21 Nov, 2021)

Wanita:  Kuala Lumpur mln Pahang (6.00 petang)

Lelaki:  Pahang mln Perak (8.30 malam)

Recent Posts

Leave a Comment