TNB Liga Hoki Remaja Malaysia 2021: MSNS/PHS Catat Kemenangan Besar

MSNS/PHS terus mendahului kedudukan Divisyen 2A selepas mencatat kemenangan besar 9-0 ke atas PHNS Seniors pada perlawanan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2021 di Stadium Hoki Nasional hari ini.

Selepas lima perlawanan, MSNS/PHS dan Kedah Eagle Jr kekal dengan rekod tanpa kalah mengumpul 15 mata keseluruhan namun kelebihan jaringan yang dimiliki MSNS/PHS iaitu 29 gol meletakkan skuad remaja Sabah itu selaku pendahulu.

Tiga gol pantas dalam masa tiga minit pada suku pertama menerusi Muhammad Saifuddin Azli (minit ke-11), Muhamad Salman Sudirman (minit ke-12) dan Muhammad Izaz Afdhaal meletakkan MSNS/PHS dalam kedudukan selesa di depan.

Granson Noel Goden dan Muhammad Faiz Aiman Mohd Aeri memastikan MSNS/PSH menutup aksi separuh masa pertama dengan jurang jaringan yang cukup besar 5-0.

Bersambung suku ketiga, Nasrul Syahkhir Sadikul mencatat nama selaku penjaring keenam pada minit ke-38 sebelum Muhammad Faiz Aiman menjaringkan gol peribadi keduanya dalam perlawanan ini.

Empat minit sebelum aksi sebenar tamat, gol Muhammad Izaz Afdhaal (minit ke-56) dan Mohamad Asyraf Mohamad Azmawi (minti ke-58) melengkapkan kemenangan besar MSNS/PHS 9-0 ke atas PHNS Seniors.

Perlawanan lain menyaksikan Kedah Eagle Jr turut mengekalkan rentak kemenangan apabila menewaskan Sarawakian Jr 2-0. Dua gol padang yang dijaringkan oleh Muhammad Luqman Hakim Shasrul Anuar pada minit ke-27 dan Mohamad Haikal Hakimi Mohamad Azhan pada minit ke-31.

Dalam satu lagi perlawanan Divisyen 2A, menyaksikan Torpedo Silverstate mengatasi Hockeylah 4-2.

Saingan 2B pula menyaksikan MSSPP-PSHA terus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu apabila mengumpul 10 mata keseluruhan selepas menewaskan pencabar rapat PPHT Thunderbolts 1-0.

M.Lions HC-Mutiara Impian yang kini berkedudukan di tangga ketiga dalam Divisyen 2B turut mencatat kemenangan besar menundukkan Nurinsafi Sporting 7-0.

Recent Posts

Leave a Comment