TNB Liga Hoki Remaja Malaysia 2021: SMKDBL-PHJ-MSNJ Dan SSTMI Thunderbolts Kongsi Satu Mata

SMKDBL-PHJ-MSNJ menafikan SSTMI Thunderbolts daripada meraih tiga mata penuh selepas mengikat juara bertahan itu 1-1 pada saingan Divisyen 1, TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2021 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

SSTMI Thunderbolts bagaimanapun kekal menerajui Liga dengan 10 mata di depan pencabar terdekat BJSS Thunderbolts yang mengisi kedudukan kedua dengan 9 mata manakala MBPJ Tigers di tangga ketiga dengan 7 mata.

Haziq Haiqal Daus meletakkan SMKDBL terlebih dahulu dihadapan pada minit ke-27 dan menutup aksi separuh masa pertama dengan memberikan sedikit tekanan buat SSTMI Thunderbolts.

Namun kelebihan tersebut tidak bertahan lama apabila Syarman Mat Tee memastikan kelebihan pukulan sudut penalti yang dihadiahkan buat SSTMI Thunderbolts pada minit ke-36 dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk kedudukan 1-1 terikat dan kekal hingga tamat perlawanan.

 MBPJ TIGERS turut berkongsi mata bersama AHP-SSP-MSP Thunderbolts selepas kedua-dua pasukan turut terikat 2-2 pada aksi keempat mereka hari ini. MBPJ Tigers kini menghuni tangga ke-3 dengan tujuh mata keseluruhan.

Pada satu lagi perlawanan Divisyen 1, Anderson Thunderbolts melakar kemenangan pertama dalam saingan liga selepas menewaskan SSTMI Juniors 3-2.

 Aksi tunggal bagi saingan Divisyen 2A pula menyaksikan pertemuan antara Franciscan HC dan PHNS/MSSNS-B16 berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Recent Posts

Leave a Comment