Divisyen 2-TNB Liga Hoki Remaja Malaysia 2021 – Kedah Eagle Jr Ambil Alih Kedudukan Pendahulu Divisyen 2A

Kedah Eagle Jr mengambil alih kedudukan selaku pendahulu Divisyen 2A selepas seri 1-1 dengan PHNS/MSSNS-B16 pada saingan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2021 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Berbaki satu perlawanan sebelum bermula saingan separuh akhir Jumaat ini (24 Disember), Kedah Eagle Jr melonjak ke tangga pertama dengan kelebihan satu mata (16 mata), mengatasi pendahulu sebelum ini MSNS/PHS yang mengumpul 15 mata.

Kedudukan mungkin akan berubah semula sekiranya pendahulu sebelum ini, MSNS/PHS berjaya mengatasi Torpedo/Silverstate HC, esok (22 Disember).

Pada saingan hari ini, Muhammad Imran Hazriq Khamarul Nizam terlebih dahulu membuka tirai jaringan buat PHNS/MSSNS-B16 pada minit ke-32 tetapi Kedah Eagle Jr berjaya mengikat kedudukan dengan keputusan seri 1-1 apabila Muhammad Noor Mustaqim Shariman menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-48 sekaligus menutup aksi dengan keputusan seri.

Pada perlawanan lain, PHK-MSN Kelantan mencatat kemenangan 2-1 ke atas Nurinsafi Sporting yang juga merupakan kemenangan pertama buat skuad bimbingan Wan Noor Zuhari Wan Yusoff.

Sementara M.Lions HC-Mutiara Impian terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata dengan MBPJ Black Widow selepas perlawanan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Dalam perlawanan lain, Amirul Syukri bin Nazaruddin muncul penjaring hatrik ketika membantu Franciscan HC melakar kemenangan besar 5-0 ke atas PHNS Seniors.

Sarawakian Jr turut meraih kemenangan pertama mereka dalam saingan liga apabila membenam Hockeylah HC 4-2.

Dua pasukan teratas dalam Divisyen 2A dan Divisyen 2B akan ke separuh akhir Jumaat ini manakala perlawanan akhir Divisyen 2 dijadualkan pada Ahad (26 Disember).

Juara dan Naib Juara Divisyen 2 bakal menyertai enam pasukan lain daripada Divisyen 1 ke saingan suku akhir Piala TNBMJHL 2021 yang akan bermula pada Isnin, 27 Disember.

Recent Posts

Leave a Comment