TNB Liga Hoki Remaja Malaysia 2021: BJSS Thunderbolts Juara Divisyen 1

Dua gol padang Muhammad Danish Aqasha Khairul Azli pada dua suku pertama membantu BJSS Thunderbolts mengatasi SSTMI Thunderbolts 3-0 sekaligus menjulang kejuaraan Divisyen 1, TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MHJL) 2021.

Walaupun masih berbaki satu perlawanan bertemu SSTMI Junior Jumaat ini, BJSS Thunderbolts mengesahkan kedudukan sebagai juara selepas pencabar terdekat SSTMI Thunderbolts gagal memberikan saingan dan melengkapkan kempen enam perlawanan kumpulan mereka dengan 10 mata.

Dengan hanya satu perlawanan yang tinggal, BJSS Thunderbolts berada dalam kedudukan selamat selepas mengumpul 12 mata keseluruhan dan kedudukan tersebut tidak dapat lagi dicabar pasukan lain.

Muhammad Danish Aqasha Khairul Azli menjaringkan gol pada minit ke-15 dan 22 untuk meletakkan BJSS Thunderbolts dalam kedudukan selesa sebelum Muhammad Amirul Kharuddin melengkapkan kemenangan BJSS Thunderbolts pada minit ke-37 menerusi penyudahan pukulan sudut penalti.

AHP-SSP-MSP Thunderbolts , turut meraih tiga mata penuh selepas menewaskan SSTMI Juniors 3-1 hari ini dan berada di tangga ketiga dengan 8 mata keseluruhan.

Pertemuan antara AHP-SSP-MSP Thunderbolts dan SMKDBL-PHJ-MSNJ, Jumaat ini penting buat kedua-dua pasukan yang masih berpeluang untuk mencabar kedudukan selaku naib juara.

Berbanding AHP-SSP-MSP Thunderbolts yang hanya mahukan kemenangan, SMKDBL-PHJ-MSNJ berdepan misi getir sekiranya mahu meraih gelaran naib juara kerana meraka bukan sahaja perlu mencari kemenangan, tetapi juga perlu menjaringkan empat gol tanpa bolos.

BJSS Thunderbolts, SSTMI Thunderbolts, AHP-SSP-MSP Thunderbolts, SMKDBL-PHJ-MSNJ, MPBJ Tigers dan Anderson Thunderbolts bersama juara dan naib Juara Divisyen 2 layak ke saingan suku akhir Piala TNBMHJL 2021 yang akan bermula Isnin depan (27 Disember).

Perlawanan hari ini juga menyaksikan SMKDBL-PHJ-MSNJ melakar kemenangan kedua mengatasi MBPJ Tigers 2-1 dan kini di kedudukan keempat liga.

Sementara itu, salam saingan Divisyen 2A, MSNS/PHS mudah mengatasi Torpedo/Silverstate HC 3-0 untuk mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu Divisyen 2A dengan 18 mata keseluruhan.

Juara Divisyen 2A akan ditentukan esok apabila MSNS/PHS bertembung dengan Kedah Eagle Juniors (16 mata) yang tiada pilihan kecuali menang sekiranya mahu muncul juara musim ini. Bagi MSNS/PHS pula, keputusan seri sudah memadai untuk kekal berada di tangga teratas Divisyen 2A.

Recent Posts

Leave a Comment