Divisyen 2: TNB Liga Hoki Remaja Malaysia 2021: MSNS/PHS, MSSPP-PSHA, Kedah Eagle Juniors, MBPJ Black Widow, Ke Separuh Akhir

MSNS/PHS dan MSSPP-PSHA masing-masing mara ke separuh akhir bagi merebut gelaran juara Divisyen 2 selepas mengungguli Divisyen 2A dan 2B pada perlawanan terakhir TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNBMJHL) 2021 di Stadium Hoki Nasional.

Turut ke separuh akhir, Kedah Eagle Juniors dan MBPJ Black Widow yang masing-masing telah melengkapkan kempen Divisyen 2 sebagai pasukan di kedudukan kedua dalam kumpulan 2A dan 2B.

Pada saingan separuh akhir Divisyen 2 esok, MSNS/PHS bertemu MBPJ Black Widow manakala MSSPP-PSHA menentang Kedah Eagle Juniors bagi memburu tempat ke final yang dijadualkan pada Ahad (26 Disember).

Kemenangan besar 10-0 MSNS/PHS ke atas Kedah Eagle Juniors hari ini menjadi pelengkap kepada rekod cemerlang MSNS/PHS yang memenangi kesemua tujuh perlawanan dengan 21 mata penuh selain mencatatkan jumlah jaringan yang cukup besar 43 gol dan hanya bolos 1.

Muhammad Saifuddin Azli muncul penjaring hatrik menerusi pukulan sudut penalti kini merupakan penjaring kedua terbanyak kejohanan di belakang rakan sepasukan Muhamad Salman Sudirman.

13 gol yang dijaringkan Salman Sudirman termasuk satu pada perlawanan hari ini meletakkan beliau kini selaku pendahulu bagi penjaring gol terbanyak Divisyen 2.

Manakala, Muhammad Izaz Afdhaal yang menyumbang dua gol untuk membantu kemenangan besar MSNS/PHS hari ini, berada di kedudukan ketiga dalam senarai penjaring terbanyak.

Dalam saingan terakhir bagi Divisyen 2B pula menyaksikan MBPJ Black Widow berjaya mengetepikan PPHT Thunderbolts 4-1 untuk menegsahkan slot separuh akhir sebagai pasukan di kedudukan kedua dengan jumlah 9 mata keseluruhan berbanding 7 oleh PPHT Thunderbolts.

Gol jaringan Prihasif Muliato pada minit ke-21, Mohamad Syabil Aizam Mohamad Noor (minit ke-43), Muhamad Afiq Ridzuwan (minit ke-55) dan Muhammad Aidil Mohd Jaafar (minit ke-58) melengkapkan kemenangan besar MBPJ Black Widow untuk memastikan tiket ke separuh akhir.

MSSPP-PSHA pula mengakhiri kempen liga dengan kemenangan 2-1 ke atas PHK-MSN Kelantan untuk meraih 13 mata keseluruhan sebagai peneraju Divisyen 2B.

Esok (24 Disember), tiga perlawanan terakhir bagi Divisyen 1 berlangsung dengan BJSS Thunderbolts bertemu SSTMI Jr, AHP-SSP-MSP Thunderbolts menentang SMKDBL-PHJ-MSNJ dan MBPJ Tigers berdepan Anderson Thunderbolts.

Recent Posts

Leave a Comment