TNB Liga Hoki Remaja Malaysia 2021 – Divisyen 2: MSNS/PHS, Kedah Eagle Jr Berentap di Final

MSNS/PHS dan Kedah Eagle Jr melangkah ke pentas akhir bagi merebut kejuaraan Divisyen 2 TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MHJL) 2021 di Stadium Hoki Nasional, Ahad ini.

MSNS/PHS melangkah ke final selepas menewaskan MBPJ Black Widow 3-2 sementara Kedah Eagle Jr mencatat kemenangan 3-1 ke atas MSSPP-PSHA dalam aksi separuh akhir yang berlangsung hari ini.

Penjaring terbanyak Divisyen 2 (14 gol) setakat ini, Muhamad Salman Sudirman muncul wira MSNS/PHS selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-44 untuk pasukan daripada Sabah itu memastikan slot mereka di pentas final.

MBPJ Black Widow sebelum itu garang di awal perlawanan dengan membuka jaringan pada minit ke-7 menerusi Mohamad Syabil Aizam Mohamad Noor sebelum Muhammad Saifuddin Azli kembali mengikat kedudukan 1-1 seminit kemudian.

MBPJ Black Widow  kembali di depan menerusi gol pukulan sudut penalti Muhammad Syahmi Aiman Mat Jusoh pada minit ke-24.

Muhammad Saifuddin Azli sekali lagi menjaringkan gol penyamaan buat MSNS/PHS menerusi satu lagi gol pukulan sudut penalti pada minit ke-32.

MBPJ Black Widow cuba memberi saingan sengit tetapi gol gerakan padang Muhamad Salman Sudirman pada minit ke-44 memastikan tempat MSNS/PHS di perlawanan akhir.

Dalam pada itu, Mohamad Haikal Hakimi Mohamad Azhan muncul sebagai watak utama dalam kemenangan 3-1 Kedah Eagle Jr ke atas MSSPP-PSHA untuk memastikan tempat mereka di final.

Dua gol jaringan Mohamad Haikal Hakimi Mohamad Azhan pada minit ke-34 dan 56 menjulang Kedah Eagle Jr untuk tampil ke final menentang MSNS/PHS.

Mohammad Arif Aiman Md Junid sebelum itu terlebih dahulu mencatat nama sebagai penjaring apabila menyudahkan pukulan sudut penalti minit ke-32.

Pada saingan pelengkap Divisyen 1 pula, juara liga BJSS Thunderbolts mengakhiri kempen liga dengan kemenangan ke atas SSTMI Juniors 4-3.

AHP-SSP-MSP Thunderbolts pula mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas  SMKDBL-PHJ-MSNJ untuk muncul selaku naib juara Liga Divisyen 1 yang sekaligus menyaksikan SSTMI Thunderbolts terpaksa berpuas hati untuk mengakhiri saingan liga di tempat ketiga.

Anderson Thunderbolts yang mengejutkan MBPJ Tigers dengan kemenangan 3-2 pada aksi terakhir boleh menarik nafas lega apabila terselamat daripada jatuh ke Divisyen 2 untuk musim hadapan sementara SSTMI Juniors yang tamat di kedudukan terakhir liga akan beraksi di Divisyen 2 pada musim hadapan.

Saingan suku akhir Piala TNBMHJL 2021 bermula Isnin depan dengan BJSS Thunderbolts bertemu naib juara Divisyen 2, SMKDBL-PHJ-MSNJ menentang MBPJ Tigers manakala SSTMI Thunderbolts membuat perhitungan dengan Anderson Thunderbolts dan AHP-SSP- MSP Thunderbolts berdepan akan juara Divisyen 2.

Recent Posts

Leave a Comment