Divisyen 2- TNB Liga Hoki Remaja Malaysia 2021: MSNS/PHS Juara Divisyen 2

MSNS/PHS merangkul kejuaraan Liga Divisyen 2, TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2021 selepas menundukkan Kedah Eagle Jr 3-1 pada aksi final di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Dua jaringan daripada penjaring terbanyak (16 gol), Muhamad Salman Sudirman pada suku pertama dan kedua membantu kejayaan MSNS/PHS yang sebelum ini cemerlang dengan rekod tanpa kalah, tujuh perlawanan liga.

Muhammad Izaz Afdhaal, turut mencatat nama sekalu penjaring yang sekaligus memastikan kemenangan mutlak buat skuad dari Sabah itu dengan gol ketiga pada minit ke-34.

Kedah Eagle Junior cuba bangkit untuk merapatkan jurang tetapi ternyata, sukar menyaingi corak permainan pantas serta ketahanan fizikal MSNS/PHS.

Skuad Kedah itu terpaksa berpuas hati dengan gol saguhati yang diraih menerusi penyudahan pukulan sudut penalti, Mohamad Haikal Hakimi Mohamad Azhan pada minit ke-37.

Kedua-dua pasukan sudah pun layak ke suku akhir saingan Piala TNBMHJL 2021 yang bermula esok.

Selaku juara Divisyen 2 , MSNS/PHS bertemu AHP-SSP-MSP Thunderbolts manakala Kedah Eagle Jr bakal berdepan juara Divisyen 1, BJSS Thunderbolts pada aksi suku akhir.

Selepas kejayaan menjuarai Divisyen 2, jurulatih MSNS/PHS, Hasrul Jideh berkata anak buahnya sudah bersedia menghadapi saingan lebih sukar pada suku akhir Piala TNBMHJL esok (27 Disember).

“Sepanjang saingan liga, kami berjaya mengekalkan konsistensi dan bermain baik. Hanya pada separuh akhir, saingan dan tentangan agak sengit tetapi kami lega kerana dapat juga melepasi segala halangan untuk catat kejayaan hari ini,”kata beliau.

Berdepan pasukan AHP-SSP-MSP Thunderbolts, Hasrul berkata mereka bersedia menentang lawan dari Divisyen 1 yang dianggap lebih pantas dan mantap.

“Memang masa rehat tak banyak, tetapi kami pernah berjumpa skuad Pahang, mereka memang bagus baik di pertahanan, serangan mahupun sudut penalti. Tetapi kami akan pasti berikan saingan hebat,” kata beliau.

Sementara itu, dalam saingan tempat ketiga dan keempat, MSSPP-PSHA memastikan kedudukan ketiga Divisyen 2 apabila menewaskan MBPJ Black Widow 2-1.

Jaringan pukulan sudut penalti Gobind Singh Khalsa (minit ke-28) dan penalti stroke daripada Putera Ahmad Syahmie Ahmad Aswad (minit ke -51) memastikan kemenangan MSSPP-PSHA.

MBPJ Black Widow yang merapatkan jurang jaringan menerusi gol penalti stroke, Aiman Haqim Badrulhisham, gagal untuk menidakkan skuad Pulau Pinang itu daripada merangkul kedudukan ketiga liga.

Aksi suku akhir esok akan menyaksikan BJSS Thunderbolts menentang Kedah Eagle Jr, SMKDBL-PHJ bertemu MBPJ Tigers, SSTMI Thunderbolts membuat perhitungan dengan Anderson Thunderbolts manakala AHP-SSP- MSP Thunderbolts melawan MSNS/PHS.

Recent Posts

Leave a Comment