Suku Akhir- Piala TNB Liga Hoki Remaja Malaysia 2021: BJSS Thunderbolts, SMKDBL-PHJ-MSNJ, SSTMI Thunderbolts Dan AHP-SSP-MSP Thunderbolts Ke Separuh Akhir

BJSS Thunderbolts mencatatkan kemenangan selesa 4-0 ke atas Kedah Eagle Jr untuk memastikan tiket ke separuh akhir Piala TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MHJL) 2021 bertemu SMKDBL-PHJ-MSNJ di Stadium Hoki Nasional pada Rabu (29 Disember).

Sementara SMKDBL-MHJ-MSNJ dipaksa bekerja keras sebelum melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas MBPJ Tigers.

Muhammad Farishshah Fauzian menjaringkan dua gol padang pada minit ke-6 dan ke-49 untuk membantu BJSS Thunderbolts memastikan tiket ke separuh akhir menjadi milik mereka.

Dua gol lagi menerusi Muhammad Amirul Kharuddin dan Zulhafizi Aiman Zulkafli masing-masing pada minit ke-42 dan 53 memastikan kemaraan BJSS Thunderbolts bagi meneruskan buruan kejuaraan berganda tahun ini.

Jurulatih BJSS Thunderbolts, S.Prakash lega dapat mengemudi pasukannya ke separuh akhir selepas tersekat di peringkat suku akhir pada 2019. “Memang terdapat sedikit kekurangan hari ini, dari segi prestasi, tetapi yang penting ialah ke separuh akhir.

“Menentang SMKDBL di separuh akhir, memang ada tekanan walaupun dengan reputasi kami sebagai juara liga. Kebanyakan pemain saya berusia bawah 17 tahun.

“Saya harap mereka terus bersemangat tinggi dan bermain mengikut apa yang dirancang untuk memastikan tiket ke akhir nanti,” kata beliau.

Dalam pada itu, SMKDBL-PHJ-MSNJ, yang terkandas di separuh akhir setelah tewas di tangan SSTMI Thunderbolts pada edisi 2019, diberi tentangan sengit oleh MBPJ Tigers sebelum dapat menggengam tiket ke separuh akhir.

Skuad Johor itu terpaksa menunggu hingga saat akhir perlawanan dan menarik nafas lega apabila Muhammad Kamarulzaman Kamaruddin menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-56 untuk membawa pasukannya ke separuh akhir.

Jurulatih SMKDBL-PHJ-MSNJ, Mohd Nor Affandy Abdul Gaffar berkata beliau lega dengan kejayaan itu biarpun terpaksa menunggu hingga saat akhir untuk meraih kemenangan. “Memang diakui MPBJ Tigers pasukan yang bagus dan kami terima tentangan hebat, peluang pun 50-50.

“Kami dapat menyempurnakan satu-satunya peluang menerusi pukulan sudut penalti untuk meraih kemenangan dan ke separuh akhir,” kata beliau.

Pertemuan dengan BJSS Thunderbolts Rabu ini dianggap sukar, apatah lagi dengan reputasi lawan sebagai juara liga selain memiliki pemain-pemain yang pantas dengan skil yang tinggi.

“Kami akan menggunakan tempoh 24 jam ini untuk rehat sepenuhnya dan memastikan pemain benar-benar bersedia,” tambah beliau.

Sementara itu, SSTMI Thunderbolts bangkit dari kejutan selepas benteng mereka dibolosi gol pada awal permainan untuk menundukkan Anderson Thunderbolts 4-2 dan mara ke separuh akhir bertemua AHP-SSP-MSP Thunderbolts.

Selepas dikejutkan dengan jaringan penalti stroke Muhammad Fahmi Khalid pada minit pertama, SSTMI Thunderbolts bangkit dengan menjaringkan dua gol pukulan sudut penalti menerusi Muhammad Amirul Hamizan Azahar (minit ke-37) dan Mughni Mohamad Kamal pada minit ke-41.

Jaringan penyamaan Muhamad Hafizal Halmi pada minit ke-45 dilihat menjelmakan sedikit harapan buat Anderson Thunderbolts.

Namun ketika perlawanan berbaki 10 minit, gol padang Mohamad Shamir Rizmi Mohd Shamsul kembali meletakkan SSTMI Thunderbolts dihadapan pada minit ke-49 sebelum Saiful Sharil Saiful Bahri memastikan kemenangan mutlak SSTMI Thunderbolts pada minit ke-60.

Menentang Anderson Thunderbolts, jurulatih SSTMI Thunderbolts, Zaidi Zainuddin mengakui ia perlawanan yang sukar. “Memang ia perlawanan yang agak sukar terutama apabila ketinggalan selepas 30 saat permainan.

“Tetapi akhirnya kami mencatatkan kemenangan dan ianya amat berharga sekali untuk menyuntik semangat pemain untuk beraksi dengan lebih baik di separuh akhir nanti.

“Tempoh 24 jam ini akan digunakan untuk proses pemulihan, menilai kecederaan, mengkaji video dan merangka strategi tepat untuk berdepan Pahang Rabu ini,” kata beliau.

Skuad Pahang, AHP-SSP-MSP Thunderbolts, yang merupakan naib juara edisi 2019, memastikan slot mereka di separuh akhir selepas menewaskan MSNS/PHS 3-0.

Jaringan minit pertama Mohammad Harris Iskandar Osman membuka laluan kemenangan buat AHP-SSP-MSP Thunderbolts, yang kemudiannya melebarkan kedudukan menerusi gol pukulan sudut penalti Muhammad Arif Syafie Ishak pada minit ke-13.

Gol kemenangan AHP-SSP-MSP Thunderbolts, terhasil pada minit ke-19 apabila Muhammad Noor Firdaus Rosdi menjaringkan gol hasil gerakan padang.

“Strategi kami hari ini ialah mencari gol awal dan ianya berhasil. Sekarang kami perlu fokus perlawanan seterusnya menentang SSTMI Thunderbolts yang pastinya sukar, terutamanya kerana mereka memiliki beberapa pemain remaja kebangsaan.

“Tetapi pemain saya bersemangat dan mempunyai motivasi yang tinggi, kami akan rancang strategi yang sesuai dalam latihan esok,” kata jurulatih AHP-SSP-MSP Thunderbolts, Mohd Sufian Mohammad.

 

JADUAL SEPARUH AKHIR (Rabu, 29 Disember)

Separuh Akhir 1: BJSS Thunderbolts mln SMKDBL-PHJ-MSNJ (NHS 1, 6 petang)

Separuh Akhir 2: SSTMI Thunderbolts mln AHP-SSP-MSP Thunderbolts (NHS 2, 6 petang)

Recent Posts

Leave a Comment