Separuh Akhir-Piala TNB Liga Hoki Remaja Malaysia 2021: BJSS Thunderbolts, SSTMI Thunderbolts Berentap Di Final

SSTMI Thunderbolts dan BJSS Thunderbolts akan membuat perhitungan bagi merebut kejuaraan Piala TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2021 yang akan berlangsung esok di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

SSTMI Thunderbolts mara ke final selepas mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas AHP-SSP-MSP Thunderbolts manakala juara Divisyen 1, BJSS Thunderbolts memastikan tempat di final selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas SMKDBL-PHJ-MSNJ.

Muhammad Amirul Haniff Mamat membuka tirai jaringan buat BJSS Thunderbolts pada minit ke-6 menerusi gerakan padang.

Tenaga muda BJSS Thunderbolts yang rata-ratanya berusia 17 tahun ke bawah nyata menjadi senjata ampuh buat mereka menerapkan permainan  pantas dan kemas yang sukar disaingi SMDBKL-PHJ-MSNJ.

Empat minit sebelum tamat aksi separuh masa pertama, SMKDBL sekali lagi dikejutkan dengan gol kedua BJSS Thunderbolts kali ini menerusi gol padang Muhammad Farishshah Fauzian pada minit ke-26.

Ketinggalan 2-0, SMKDBL-PHJ-MSNJ cuba bangkit dan berjaya merapatkan jurang kedudukan selepas pemain remaja kebangsaan, Alfarico Lance Liau Jr menyempurnakan kelebihan pukulan sudut penalti pada minit ke-51.

SMKDBL-PHJ-MSNJ terus memberikan tekanan tetapi BJSS Thunderbolts mengerah segala kudrat untuk bertahan dan sesekali melakukan serangan balas untuk memastikan kedudukan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan.

Jurulatih BJSS Thunderbolts, S. Prakash berkata pemain banyak melakukan kesilapan tetapi bersyukur kerana tetap dapat merealisasi sasaran sebagai juara liga dan mara ke perlawanan akhir.

“Ini satu pencapaian memuaskan dan esok, kami anggap pasukan kami sebagai underdog kerana reputasi SSTMI Thunderbolts yang sudah banyak kali memenangi kejuaraan.

“Apa pun, saya percaya dengan kemampuan pemain dan saya anggap pertemuan esok menentang SSTMI Thunderbolts sebagai 50-50.” kata beliau.

Ketua pasukan Wan Muhammad Najmie Ahmad Dzaib menganggap pertemuan dengan SSTMI Thunderbolts esok amat mengujakan apatah lagi mereka berjaya melangkah ke final selepas terkandas di suku akhir pada edisi lepas.

“Kami tak gentar walaupun hampir separuh pasukan SSTMI Thunderbolts terdiri dari pemain remaja kebangsaan. Saya yakin dengan semangat berpasukan tinggi rakan-rakan,” kata beliau.

Dalam pada itu, SSTMI Thunderbolts berpeluang mencabar kejuaraan Piala TNB untuk tahun ini dan mempertahankan gelaran selaku juara edisi lalu selepas mengatasi skuad Pahang, AHP-SSP-MSP Thunderbolts 2-0.

Bagaimanapun, SSTMI Thunderbolts terpaksa menunggu sehingga 10 minit terakhir sebelum dapat membolosi gawang AHP-SSP-MSP Thunderbolts apabila Muhammad Hazree Alief Rosli menjaringkan gol padang pada minit ke-50.

Jaringan ketua pasukan remaja kebangsaan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke 54 melengkapkan kemenangan 2-0 SSTMI Thunderbolts untuk memastikan tiket ke final esok.

Jurulatih SSTMI Thunderbolts, Zaidi Zainuddin lega dengan prestasi anak-anak buahnya biarpun agak lambat menjaringkan gol. “Saya arahkan pemain supaya bersabar dan tidak tergesa-gesa dalam pencarian gol, akhirnya kami dapat dua gol selepas separuh masa selepas meningkatkan tempo permainan,” katanya.

Menentang BJSS Thunderbolts, beliau berkata, SSTMI Thunderbolts tetap menghormati pasukan muda itu dan berwaspada dengan corak permainan pantas BJSS Thunderbolts.

“Kami akan rancang strategi, terutama selepas tewas dalam saingan liga sebelum ini dan atas faktor mereka mantap dalam aspek pukulan sudut penalti,” kata beliau.

Kapten SSTMI Thunderbolts, Saiful Sharil Saiful Bahri pula berkata beliau dan rakan sepasukan akan turun dengan misi membalas dendam di atas kekalahan di tangan BJSS Thunderbolts pada saingan liga sebelum ini. “Kami akan fokus semula, meneliti video dan bertekad untuk membalas dendam esok.”

Recent Posts

Leave a Comment