20 Pemain Galas Cabaran Ke Kejohanan Piala Asia Wanita, Muscat, Oman, 2022

In MAIN

Kejohanan Hoki Piala Asia Wanita, Muscat, Oman, 2022 yang akan membuka tirai pada 21 hingga 28 Januari 2022 ini akan menjadi tugasan antarabangsa pertama buat 20 pemain Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan bagi tahun 2022.

Format kejohanan menyaksikan dua pasukan teratas dalam Kumpulan A dan B akan melangkah ke aksi separuh akhir. Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama India, Jepun dan Singapura sementara Kumpulan B pula menampilkan China, Korea, Thailand dan Indonesia.

Kejohanan Hoki Piala Asia Wanita 2022 juga merupakan perlawanan kelayakan bagi Kejohanan Piala Dunia Wanita 2022. Seramai lima pemain senior dibawa untuk membantu memperkuatkan pasukan serta membimbing pemain-pemain muda.

Ketua Jurulatih Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim menjelaskan beliau bersama barisan kejurulatihan telah membuat penilaian pemain berdasarkan usaha yang ditunjukkan oleh pemain-pemain.

Selain itu semangat untuk memberikan tentangan ketika dalam latihan serta aksi persahabatan, juga tahap kualiti teknikal skil yang dimiliki oleh pemain turut menjadi elemen utama dalam pemilihan tersebut.

“Selepas menjalani beberapa sesi latihan hoki serta perlawanan persahabatan menentang Pasukan Lelaki Elit MBPJ, barisan kejurulatihan telah menyenaraikan 20 pemain untuk ke Muscat, Oman.

“Pemilihan pemain berdasarkan beberapa kriteria dan yang paling utama adalah tahap kualiti teknikal skil pemain-pemain. Ia sangat penting bagi memudahkan mereka menyesuaikan diri dengan taktikal pasukan serta tempo permainan yang pantas terutamanya di peringkat yang tinggi.

“Pemahaman dari segi taktikal pasukan serta mempunyai kemahiran membuat keputusan didalam padang turut diambil kira. Barisan jurulatih juga menilai dan memerhatikan tahap usaha yang ditunjukkan mereka semasa latihan dan perlawanan persahabatan selain mempunyai semangat untuk memberikan tentangan ketika perlawanan,” jelasnya.

Berdasarkan senarai, 12 pemain bakal membuat penampilan pertama di pentas antarabangsa. Nasihin yang mengambil sikap realistik dengan keadaan serta tahap pasukan bimbingannya, mahu barisan pemainnya menggunakan sepenuhnya pendedahan bermain dengan pasukan-pasukan terbaik di Asia.

“Pasukan ini rata-ratanya dibarisi oleh pemain berusia 23 tahun ke bawah dan menyertai kejohanan peringkat senior tertinggi di Asia untuk kali pertama sudah dianggap sebagai satu pencapaian yang membanggakan apatah lagi mereka akan berdepan dengan pasukan-pasukan yang beraksi di Sukan Olimpik serta Piala Dunia.

“Secara realistik, dengan keadaan semasa dan kekangan yang kami hadapi, kami sedar di mana tahap pasukan jika dibandingkan dengan pasukan-pasukan gergasi Asia yang lain.

“Kami terpaksa mengambil tindakan berani untuk menyertai kejohanan ini dan berharap kejohanan ini menjadi satu pendedahan terbaik untuk mereka selain membantu untuk membentuk satu pasukan mantap serta mempunyai kualiti bersaing di peringkat antarabangsa pada masa hadapan,” tambahnya lagi.

Berikut merupakan senarai 20 pemain Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan yang akan mewakili Malaysia di Kejohanan Piala Asia Wanita, Muscat, Oman, 2022.

BIL NAMA POSISI
1. SITI ROZAILAH JILON PENJAGA GOL
2. SITI ZALIA NASIR PENJAGA GOL
3. JULIANI MOHAMAD DIN PERTAHANAN
4. RAJA NORSHARINA RAJA SHABUDDIN PERTAHANAN
5. NURUL FAEZAH SHAFIQAH KHALIM PERTAHANAN
6. IREN HUSSIN PERTAHANAN
7. DAYANG NURAMIRAH ABANG MAHADINI PERTAHANAN
8. NURUL FATIN FATIAH AZMAN PERTAHANAN
9. NURAINI ABDUL RASHID TENGAH
10. FATIN SHAFIKA MAHD SUKRI TENGAH
11. NUR SYUHADA SUHAIMI TENGAH
12. NOR ASFARINA ISAHYIFIQA ISAHHIDUN TENGAH
13. NUR INSYIRAH EFFARIZAL TENGAH
14. NURAMIRAH SHAKIRAH ZULKIFLI PENYERANG
15. NURMAIZATUL HANIM SYAFI SHIEK FUAD PENYERANG
16. SITI ZULAIKHA HUSAIN PENYERANG
17. SITI NUR ARFAH MOHD NOR PENYERANG
18. NUR ATIRA MOHAMAD ISMAIL PENYERANG
19. NUR AFIQAH SYAHZANI AZHAR PENYERANG
20. HANIS NADIAH ONN PENYERANG

Berikut merupakan jadual perlawanan Pasukan Malaysia bagi peringkat kumpulan A:

BIL PERLAWANAN TARIKH / HARI MASA
1. INDIA LWN MALAYSIA 22 JANUARI (SABTU) 12.00 TGH MALAM
2. MALAYSIA LWN SINGAPURA 23 JANUARI (AHAD) 9.00 MALAM
3. MALAYSIA LWN JEPUN 24 JANUARI (ISNIN) 9.00 MALAM

** Waktu perlawanan adalah waktu Malaysia.

Recent Posts

Leave a Comment