TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2022 (Premier) : TNB Kekal Dipersada Liga

In MAIN

Tiga jaringan berturut-turut dalam tempoh tiga minit pada penghujung suku keempat menidakkan harapan Maybank untuk menyaingi pendahulu liga, Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang meraih kemenangan 5-2 pada pada perlawanan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2022 (Premier) di Stadium Hoki Nasional malam ini.

Kemenangan itu sekaligus meletakkan Terengganu Hockey Team (THT) yang memiliki kelebihan satu perlawanan di kedudukan kedua dengan 23 mata empat mata dibelakang TNB yang mengumpul keseluruhan 27 mata.

Maybank pula di dalam kedudukan tertekan selain memerlukan kemenangan untuk terus menghambat THT, dan kekalahan kepada TNB tambah menyukarkan misi mereka untuk memburu kedudukan selaku naib juara.

Kedua-dua TNB dan Maybank bersaing sengit dalam tempoh 15 minit pertama tetapi TNB terlebih dahulu memecah kebuntuan gol pada suku kedua menerusi Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan yang menyempurnakan gerakan sudut penalti pada minit ke-21.

Namun kegembiraan TNB terhenti seminit selepas itu apabila Hafifihafiz Hanafi melakukan gerakan pantas untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-22.

TNB berhasil untuk mendapatkan satu gol pemisah pada suku ketiga menerusi Muhammad Shahril Saabah yang hanya memerlukan empat minit selepas suku ketiga bermula (m-34) untuk menjaringkan gol padang.

Ketinggalan 1-2, Maybank tidak mudah menyerah kalah dan terus mengejar dari belakang untuk menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Haziq Samsul pada minit ke 48.

TNB meningkatkan tempo permainan selepas itu dan ledakan dua gol Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-52 dan 53 nyata menyentap semangat Maybank.

Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi melengkapkan gol kemenangan TNB pada minit ke-54 hasil kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki untuk perlawanan ditutup dengan kemenangan 5-2 berpihak TNB.

“Kami sebenarnya gagal memanfaat peluang di awal permainan, dan terpaksa menunggu hingga suku kedua untuk jaringan. Tetapi saya puas hati dengan prestasi pemain, terutama apabila mempertahankan gawang ketika percubaan pukulan sudut lawan.

“Kami berjaya kekang kekuatan Maybank di kiri dan kanan padang,” ujar pengendali TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin.

Nor Saiful Zaini turut menambah: “Perlawanan hari ini tidak menentukan kejuaraan liga, sebaliknya saya pasti penentuan juara liga akan diheret hingga ke perlawanan terakhir menentang THT nanti, itulah penentuannya dan kami sudah bersedia memberikan yang terbaik,” jelas beliau.

Sebelum itu, THT tidak berdepan masalah mengetepikan UiTM HA 4-1 dengan penyerang prolifik kebangsaan, Faizal Saari sekali lagi cemerlang menerusi ledakan hartik tiga gol pada minit ke-9, 14 dan 50, sebelum Ismail Abu menambah satu lagi gol pada minit ke 53.

TNB Thunderbolts pula meraih kemenangan keempat dan mengumpul keseluruhan dengan 12 mata untuk kekal di kedudukan kelima liga apabila menewaskan National Development Team 4-2.

Ditinggalkan satu mata dibelakang UiTM HA, TNB Thunderbolts tiada pilihan lain selain perlu meraih kemenangan dalam baki dua perlawanan terakhir mereka jika mahu mara ke separuh akhir Piala TNB 2022 selaku pasukan di kedudukan keempat liga.

Saingan liga bakal berakhir pada 22 Mac dan empat pasukan terbaik akan meneruskan aksi di separuh akhir Piala TNB 2022 bermula 25 Mac sementara perlawanan akhir Piala TNB dijadualkan pada 31 Mac ini.

Recent Posts

Leave a Comment