Celebrity Fitness Rakan Kecergasan Rasmi Skuad Senior Lelaki Kebangsaan

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan Celebrity Fitness, pengendali rangkaian pusat kecergasan terbesar di Malaysia, hari ini menjalin kerjasama untuk memastikan tahap kecergasan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan sentiasa di tahap tertinggi menjelang beberapa kejohanan penting sehingga tahun depan.

Majlis pengumuman rasmi Celebrity Fitness sebagai “Rakan Kecergasan Rasmi Skuad Senior Lelaki Kebangsaan 2022-2023” berlangsung di ibu pejabat KHM di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif KHM, Cik. Norfaraha Hashim, Pengarah Teknikal Pembangunan dan Skuad Projek Khas KHM, En. Paul Revington, Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Coach A. Arulselvaraj, Penolong Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Coach Mohd Amin Rahim, Pengurus Pengaktifan Kecergasan Celebrity Fitness Benny Yeoh serta Jurulatih Kecergasan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan yang baru dilantik, Tom Drowley.

Menurut Arulselvaraj, kerjasama dengan Celebrity Fitness itu juga bertepatan dengan perlantikan jurulatih kerjasama Tom Drowley yang secara rasmi diumum sebagai Ketua Jurulatih Kecergasan dan Suaian Fizikal, Skuad Senior Kebangsaan pada majlis yang sama.

Tom Drowley, 35, dari United Kingdom, berpengalaman lebih sedekad dalam sukan elit termasuk tenis antarabangsa, ragbi professional selain tujuh tahun sebagai pakar fizikal skuad Hoki Britain yang telah membuat penampilan sama ada di peringkat dunia mahupun Sukan Olimpik.

Arulselvaraj menambah, KHM melahirkan penghargaan di atas kerjasama dengan Celebrity Fitness, yang mempunyai lebih 22 rangkaian gymnasium khususnya di Kuala Lumpur dan Johor, untuk pembangunan dan kemajuan hoki negara.

Menerusi kerjasama tersebut, Celebrity Fitness menyediakan gymnasium dan peralatan kecergasan untuk digunakan Skuad Senior Lelaki  Kebangsaan, terutama semasa fasa tiada kejohanan, latihan atau “off-period”.

“Walaupun kami juga mempunyai gymnasium sendiri yang digunakan sebelum ini termasuk di Institut Sukan Negara (ISN) dan gimnasium KHM sendiri di Stadium Hoki Nasional 2, penglibatan Celebrity Fitness amat dialu-alukan bagi memberi nilai tambah selain membolehkan pemain terus berlatih pada masa tiada kejohanan.

“Malahan, pemain sudah mula menggunakan kemudahan di Celebrity Fitness berdekatan di Endah Parade dan memberi reaksi positif, terutama dalam apsek kebersihan, peraturan ketat SOP untuk keselamatan kesihatan dalam masa pandemik dan sebagainya,” ujar Arul.

Skuad Senior Lelaki Kebangsaan kendalian Arul kini dalam rangka persiapan menghadapi beberapa kejohanan penting termasuk Piala Asia yang dijadualkan berlangsung pada Mei ini dan juga Sukan Asia pada September akan datang.

Recent Posts

Leave a Comment