Penyerang Kebangsaan, Faizal Saari hari ini tampil memohon maaf ekoran dirinya yang disahkan Positif Covid-19 telah mengakibatkan seluruh Skuad Senior Lelaki Kebangsaan tidak dapat menyertai Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia, Dhaka, Bangladesh yang dijadualkan berlangsung pada 14 hingga 22 Disember 2021.
Faizal yang disahkan positif Covid-19 pada 8 Disember lalu tidak mengalami sebarang gejala, tanda-tanda mahupun simptom jangkitan Covid-19 mengambil tanggungjawab di atas kesulitan yang dialami oleh Skuad Senior Lelaki Kebangsaan yang kini perlu menjalani proses kuarantin selaku kontak rapat kepada beliau.
“Pertama sekali saya ingin memohon maaf kepada pasukan dan pihak pengurusan terutamanya Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Dato’ Sri Subahan Kamal dan semua sekali yang turut terlibat.
“Saya mohon maaf disebabkan saya disahkan Positif Covid-19, pasukan tidak dapat mengambil bahagian dalam Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia. Saya minta maaf juga kerana meletakkan pasukan dalam situasi ini.
“Apa yang berlaku bukan sesuatu yang saya inginkan tetapi disebabkan ianya terjadi, saya mengambil tanggungjawab ini. Disebabkan saya, pasukan tidak dapat ke Bangladesh dan itu yang saya paling terkesan kerana melibatkan pasukan.
“Saya juga telah sebaik mungkin mengikut semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan namun tetap dijangkiti Covid-19 kerana virus ini sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
“Sekali lagi saya betul-betul minta maaf dan saya akan cuba berfikiran positif untuk menghadapi situasi ini. Saya tidak pasti dari mana jangkitan ini saya dapat.
“Kini saya perlu menjalani proses kuarantin selama 10 hari sebelum membuat ujian calitan sekali lagi. Saya berharap ujian calitan yang akan datang semuanya baik-baik sahaja,” jelasnya yang mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan memohon maaf kerana meletakkan ramai pihak dalam situasi sukar.
Semalam, KHM telah mengesahkan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan tidak akan beraksi pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia di Dhaka Bangladesh ekoran salah seorang pemain disahkan Positif Covid-19 dan terpaksa akur dengan arahan daripada pihak Majlis Sukan Negara (MSN) juga Kementerian-Kementerian yang bertanggungjawab mengenai hal Pandemik Covid-19 di Malaysia untuk Malaysia menarik diri daripada menyertai kejohanan tersebut.









