Hoki Dalam Dewan Lelaki dan Wanita membawa pulang pingat perak di Sukan SEA Thailand 2025 selepas tewas kepada lawan masing-masing pada aksi final, di Wet 1 Hall Thai-Japan Sports Center, hari ini.
pasukan lelaki tewas kepada juara bertahan Indonesia 0-2 menerusi penentuan penalti selepas terikat 4-4 dalam masa permainan sebenar manakala skuad wanita memberi tentangan sengit sebelum kalah 3-4 kepada Thailand yang juga juara bertahan.
Keputusan itu mengulangi pencapaian edisi lalu, di mana skuad negara tewas kepada lawan sama di Kemboja pada 2023.
Pada aksi saingan lelaki, Indonesia terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-3 dan m-5 menerusi Yuan Jodie namun seminit kemudian Meor Muhamad Azuan Hasan merapatkan kedudukan kepada 2-1.
Indonesia kembali menjarakkan kedudukan pada minit ke-14 menerusi ledakan revo Priliandro namun Malaysia menunjukkan kebangkitan dengan menjaringkan tiga gol menerusi Mohamad Ashran Hamsani pada minit ke-18, Muhammad Najmi Farizal Jazlan (m-19) dan Shahmie Irfan Suhaimi(m-25).
Ketika Malaysia mendahului 4-3, Revo Priliandro menyamakan kedudukan pada minit ke-31 sekali gus pemenang terpaksa ditentukan menerusi penalti shoot-out yang memihak kepada Indonesia.
Ketua jurulatih pasukan, Muhammad Amin Rahim, bagaimanapun memuji semangat juang tinggi yang dipamerkan anak buahnya sepanjang 40 minit perlawanan walaupun berdepan cabaran daripada keputusan pengadil.
“Pertama sekali saya nak beri kredit kepada pemain-pemain kita, memang kita kalah kepada Indonesia pada edisi lalu di Kemboja, memang perkara itu ada dalam diri setiap pemain untuk membalas dendam.
“Memang kita ketinggalan 2-0 dan semangat untuk kembali memang sangat-sangat kuat dan ada suatu ketika kita mendahului 4-3. Bukan nak mencari alasan tetapi saya rasa banyak keputusan-keputusan pengadil yang agak berat sebelah ke arah Indonesia.
“Kami terima dengan hati terbuka dengan keputusan ini, kita bermain dengan baik untuk 40 minit, tetapi kami tewas di penentuan penalti shoot-out. Kekalahan ini memberikan kami peluang untuk belajar dan bangkit lebih kuat pada kejohanan akan datang di Kuala Lumpur,” katanya selepas perlawanan.
Beliau turut menyuarakan harapan agar pasukan hoki dalam dewan negara diberikan lebih banyak peluang latihan serta pendedahan antarabangsa bagi memperkukuh persiapan menghadapi kejohanan akan datang.
Dalam pada itu, pasukan hoki dalam dewan wanita negara turut berdepan saingan sengit apabila tewas tipis 3-4 kepada tuan rumah, Thailand, pada perlawanan akhir.
Walaupun tidak berjaya membawa pulang pingat emas, persembahan bertenaga dan semangat juang tinggi yang ditunjukkan sepanjang kejohanan membuktikan kemajuan ketara pasukan wanita negara dan menjadi petanda positif untuk masa depan.









