Skuad hoki 5 sebelah (5s) lelaki kebangsaan memahat detik bersejarah di Bangkok apabila menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia di Sukan SEA 2025 Thailand selepas menumpaskan Indonesia 7-3 dalam aksi final.
Kejayaan itu juga membuktikan betapa perancangan teratur dan sokongan penuh oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) terhadap pasukan ini telah menuaikan hasil yang membanggakan. Lebih manis, skuad ini menjadi pasukan pertama memenangi acara yang kali pertama dipertandingkan pada Sukan SEA 2025.
Kemenangan besar itu bukan sahaja mengesahkan dominasi Malaysia dalam hoki 5s, malah mengangkat maruah hoki negara di pentas Asia Tenggara apabila para pemain tampil dengan aksi penuh yakin sejak wisel permulaan.
Malaysia memulakan perlawanan dengan intensiti tinggi sebelum membuka tirai jaringan pada minit ketujuh menerusi penyudah tenang Mohamad Akhimullah Anuar Esook yang menjadi pembakar semangat rakan sepasukan.
Selang seminit kemudian, giliran Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee pula mencetak nama sebagai penjaring apabila menolak masuk gol kedua Malaysia untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Skuad negara terus mengukuhkan kedudukan pada minit ke-14 selepas Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran meledak gol ketiga, menambahkan tekanan kepada Indonesia yang bergelut mengekang serangan bertali arus Malaysia.
Memasuki babak kedua, Malaysia langsung tidak mengendurkan asakan dan hasilnya Akhimullah sekali lagi menunjukkan ketajamannya di depan gawang apabila menjaringkan gol keempat pada minit ke-17.
Indonesia cuba bangkit dengan Mochamad Fathur merapatkan jurang apabila menjaring gol pada minit ke-19, namun kebangkitan itu tidak bertahan lama selepas Abid kembali mencuri tumpuan dengan gol kedua peribadinya pada minit ke-22 untuk menjarakkan kedudukan kepada 5-1.
Pasukan lawan kemudian memperoleh dua gol pantas pada minit ke-24, kedua-duanya menerusi Alfandy Prastyo.
Namun, Malaysia memastikan kemenangan tidak tergugat apabila Akhimullah melengkapkan hatrik pada minit ke-29, sebelum Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini menutup aksi gemilang negara dengan gol ketujuh pada minit terakhir permainan.
Ketua jurulatih skuad hoki lelaki 5s negara, Wan Mohd Roslan Wan Abd Rahman mengakui berbangga dan gembira dengan kejayaan pemain memenangi pingat emas pertama buat Malaysia.
Katanya, beliau telah menjangka sejak awal lagi bahawa Indonesia akan memberi tentangan sengit kepada pasukan negara namun segala perancangan teliti dibuat berjaya dilaksanakan dengan baik oleh para pemain.
“Alhamdullilah atas kemenangan hari ini, dan ia merupakan pingat emas pertama kepada Malaysia dan kami berbangga menjadi penyumbang pertama pingat emas kepada Malaysia. Apa yang saya katakan kepada pemain, mereka kena cipta sejarah dan sejarah telah tercipta pada hari ini dengan kesungguhan pemain untuk menang perlawanan menentang Indonesia.
“Daripada awal kami telah menjangkakan Indonesia akan memberi tentangan sengit memandangkan mereka cukup bersedia dan mereka datang ke Thailand untuk Sukan SEA ini, dibimbing oleh Dharma Raj (Abdullah) dan Iman Gobinathan yang merupakan bekas pemain kebangsaan dan banyak pengalaman.
“Apa yang mereka terapkan hari ini pemain-pemain telah berjaya untuk mematahkan setiap serangan daripada pasukan Indonesia. Saya berbangga dengan semua pemain kerana mereka telah membuktikan mereka inginkan pingat emas dan berjaya memenanginya.
“Apa yang boleh saya katakan pemain yang dibawa masuk ke dalam pasukan Shafiq Ikhmal Daniel amat menyerlah dan telah menjaringkan gol dalam setiap perlawanan. Inilah hasrat saya untuk mencari pelapis Akhimullah dalam hoki 5s,” katanya selepas perlawanan.









