Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki Kebangsaan mengalihkan tumpuan kepada perlawanan tempat kesembilan hingga ke-12 selepas tewas 0-3 kepada Iran dalam saingan Kumpulan B, Piala Dunia Hoki Dalam Dewan di Porec, Croatia.
Pada aksi yang berlangsung di Zatika Sport Centre itu, Iran yang juga juara Asia, membuka tirai jaringan pada minit ke-10 menerusi Seyed Mohahammad yang menyempurnakan pukulan sudut penalti.
Ketika skuad negara cuba bangkit mencari gol penyamaan, Iran menambah dua jaringan lagi gol dalam masa enam minit iaitu pada minit ke-30 hasil pukulan sudut penalti disudahkan Mohsen Bohlouli dan gol padang diledak oleh Sajjad Mamizadeh (m-36).
Mengulas mengenai perlawanan itu, Ketua jurulatih negara, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi tetap memuji peningkatan prestasi ditunjukkan anak buahnya daripada satu perlawanan ke satu perlawanan walaupun tewas buat kali ketiga dalam saingan kumpulan.
Jelasnya, pada aksi menentang Iran, beberapa kesilapan kecil yang dilakukan ketika perlawanan berdepan Jerman dan Argentina berjaya diminimumkan dan semua pemain telah memberikan aksi terbaik.
“Kita tahu memang satu keputusan yang tidak dimahukan iaitu sekali lagi kita tewas. Tetapi secara keseluruhannya prestasi pemain-pemain pada hari ini, mereka bermain begitu baik sekali dan mengikut perancangan yang kita lakukan.
“Kita dapat lihat mereka bermain dengan berdisiplin daripada suku pertama hingga keempat.
“Kesilapan-kesilapan kecil yang sebelum ini begitu banyak dilakukan telah berjaya dikurangkan. Memang kita cipta peluang menjaringkan gol tetapi kita tidak menggunakannya dengan sebaik mungkin.
“Kalau ini diperbaiki oleh pemain-pemain iaitu menggunakan sebaiknya peluang untuk menjaringkan gol, ia pasti akan menjadi lebih baik.
”Untuk perlawanan seterusnya kita kena tunggu esok baru tahu pasukan mana kita akan bermain. Kita akan lakukan perancangan sebaiknya untuk persiapan kita pada perlawanan tangga ke sembilan dan 12,” katanya selepas perlawanan menentang Iran.
Untuk rekod, Malaysia menutup aksi Kumpulan B tanpa sebarang mata selepas tewas kepada juara dunia tiga kali, Jerman, juara Asia, Iran dan juara benua Amerika, Argentina.









