Negeri Sembilan mengesahkan status sebagai juara Zon Tengah Divisyen 2, TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2024 selepas meraih kemenangan 3-1 ke atas Malacca High School HT pada aksi final yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.
Pada aksi itu, Negeri Sembilan terlebih dahulu ketinggalan pada minit ke-13 menerusi gol dijaringkan oleh pemain Malacca High School HT, Muhammad Danish Mohd yang menyempurnakan pukulan sudut penalti.
Bagaimanapun, Negeri Sembilan bangkit pada suku ketiga dengan menjaringkan tiga gol dalam tempoh enam minit.
Muhammad Azlan Syahmy Ali Hassan memulakan kebangkitan Negeri Sembilan menerusi gol padang pada minit ke-32, disusuli jaringan Muhammad Ruzlan Haikal Ab Wahab pada minit ke-34 (pukulan sudut penalti) dan dua minit kemudian Mohamad Khuzaimy Norshaharibuddin memastikan kemenangan bergaya (gol padang) buat pasukan itu menjadi juara Zon Tengah Divisyen 2.
Ketua Jurulatih Negeri Sembilan, S.Velappan menyifatkan kesungguhan yang dipamerkan anak buahnya dalam perlawanan final melayakkan mereka untuk bergelar juara.
Katanya, ketika ini dia akan memberi rehat terlebih dahulu kepada pemain-pemainnya untuk meraikan kejayaan ini serta membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha yang akan diraikan pada 17 Jun nanti.
“Pemain-pemain memang layak untuk menang di atas kesungguhan yang ditunjukkan mereka. Cuma kita terpaksa menunggu suku ketiga untuk mendapat gol.
“Pujian untuk pemain-pemain saya kerana menunjukkan semangat tidak putus asa dan keingginan tinggi untuk menang, memang misi kita untuk menjadi johan zon dan mensasarkan untuk layak ke divisyen 1 tahun depan.
“Selepas ini kita akan berehat sebentar untuk pemain-pemain menyambut Hari Raya Aidiladha, sebelum kita mulakan latihan dan mengadakan satu perlawanan persahabatan menjelang separuh akhir Divisyen 2 di Bukit Jalil,” katanya selepas perlawanan.
Sementara itu, juara bagi Zon Utara Divisyen 2 TNB MJHL 2024, bakal ditentukan pada Jumaat ini (14 Jun) melibatkan perlawanan di antara Young Lion SSN Perlis Thunderbolts menentang Anderson Juniors, jam 6 petang di Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang.
Selepas ini, Negeri Sembilan dan Malacca High School HT akan berentap dengan finalist Zon Utara bagi aksi separuh akhir Divisyen 2, di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 21 Jun nanti, disusuli aksi final di venue sama (23 Jun) bagi menentukan siapakah yang akan merangkul gelaran Juara Divisyen 2, TNB MJHL 2024.
Pasukan yang bermain di final Divisyen 2 nanti akan menyertai enam pasukan teratas daripada Divisyen 1 untuk merebut Piala TNB 2024, di mana suku akhir trofi itu akan bermula pada 25 Jun (Selasa).