Perlawanan Ujian Di Jepun, Medan Persiapan Young Tigers Ke Piala Remaja Asia 2026

Sebagai persiapan menjelang Kejohanan Piala Remaja Asia 2026 yang akan berlangsung di Moqi, China, pada 4 hingga 13 September 2026, Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan, hari ini berlepas ke Gifu, Jepun, bagi menjalani siri perlawanan ujian bersama pasukan Jepun.

 

Lima perlawanan ujian yang diatur merangkumi satu aksi berdepan Skuad Senior Jepun dan empat Skuad B21 bermula 5 hingga 13 Julai ini adalah sebagai salah satu langkah pendedahan kepada perlawanan yang berintensiti tinggi dan mengukur tahap barisan pemain muda negara ketika ini.

 

Jurulatih Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menjelaskan, hampir 80 peratus skuad remaja kini dibarisi dengan wajah baru dan beliau berharap agar aksi ujian yang diatur ini dapat membantu mempercepatkan proses pembelajaran serta mematangkan corak permainan mereka dalam masa yang singkat demi menggalas cabaran negara.

 

“Pasukan mempunyai tempoh dua bulan untuk melakukan segala persiapan bagi memastikan misi Malaysia untuk layak ke Piala Dunia Remaja menerusi tiket Kejohanan Piala Remaja Asia, tercapai.

 

“Lima perlawanan ujian ini adalah sebagai salah satu langkah persiapan yang mana kami yakin, perlawanan-perlawanna ini akan membantu kami mengenalpasti tahap keupayaan pasukan serta kelemahan yang segera diperbaiki dengan tempoh dua bulan yang kami miliki.

 

“Selepas pulang daripada Jepun, satu lagi siri persiapan akhir akan kami lakukan. Walaupun enam slot ke Piala Dunia Remaja diberikan menerusi Kejohanan Piala Remaja Asia, sejarah dan reputasi semata-mata tidak boleh dijadikan ukuran untuk mana-mana pasukan layak merebut slot tersebut.

 

“Kami sedar pasukan seperti Bangladesh, China, Jepun dan Korea antara pasukan yang sedang meningkat naik dan mereka perlu diberikan perhatian yang tinggi kerana pasukan-pasukan ini mungkin memberikan ancaman kepada Malaysia dalam misi kelayakan.

 

“Kami yakin dengan persiapan terbaik, keazaman tinggi dalam hati setiap pemain dan keinginan untuk membawa maruah Malaysia setinggi mungkin dalam diri setiap pemain akan mendorong kepada keputusan positif yang disasarkan,” jelas beliau.

 

Malaysia akan memulakan aksi ujian pertama pada 7 Julai (Selasa) bertemu Skuad Senior Jepun diikuti berdepan Pasukan B21 Jepun pada 8 Julai (Rabu), 10 Julai (Jumaat), 11 Julai (Sabtu) dan 12 Julai (Ahad) sebelum kembali ke Malaysia.

 

Barisan 20 Pemain Remaja Kebangsaan yang akan menjalani Siri Perlawanan Ujian di Gifu Jepun.

NO NAMA POSISI
1 Haziq Muizzuddin Bin Hairul Mizan PENJAGA GOL
2 Mohamad Adib Amsyar Bin Mohammad Hanif
3 Muhammad Nabil Irfan Bin Mohd Yusof (C) PERTAHANAN
4 Muhammad Safwan Bin Salihe
5 Iman Faris Bin Faizo
6 Dheeressh Gunaseelan
7 Jebat Aiman Bin Mohd Jeffri
8 Muhammad Hafiezuddin Bin Mohd Ali
9 Karthikesan A/L Shivamoorthy
10 Rahuul Fazrien Bin Muhammad Nazrien TENGAH
11 Muhamad Harith Afi Bin Muhammad Rishamudin
12 Harieq Hadief Bin Mohd Fariq
13 Shelston Silverius
14 Aferull Syah Bin Ahmad Azuan Syahrill
15 Muhammad Asyraff Bin Ismail
16 Shafiq Ammar Fahmi Bin Suzaini PENYERANG
17 Eswaran A/L George
18 Gagandeep Singh A/L Aphthar Singh
19 Mohamad Syazwan Bin Mohd Shamsul
20 Muhammad Faiz Afzan Bin Mohd Faizal

 

Berikut merupakan jadual Perlawanan Ujian yang telah diatur:

NO TARIKH HARI MASA (WAKTU MALAYSIA) PERLAWANAN
1 7 Julai Selasa 5:00 petang Malaysia B21 lwn Senior Jepun
2 8 Julai Rabu 3:00 petang Malaysia B21 lwn Jepun B21
3 10 Julai Jumaat 9 pagi Malaysia B21 lwn Jepun B21
4 11 Julai Sabtu 11 pagi Malaysia B21 lwn Jepun B21
5 12 Julai Ahad 11 pagi Malaysia B21 lwn Jepun B21