Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan membuka kempen kejohanan Piala Asia 2025 di Rajgir, India, hari ini, dengan bergaya apabila meraih kemenangan 4-1 ke atas Bangladesh pada aksi pertama Kumpulan B.
Pada aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Rajgir, Stadium Hoki Rajgir India bagaimanapun menyaksikan skuad kebangsaan dikejutkan dengan gol pembukaan oleh Ashraful Islam yang menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-16 untuk meletakkan Bangladesh mendahului 1-0.
Speedy Tigers tidak menunggu lama untuk bangkit menyamakan kedudukan menerusi gol padang Mohamad Ashran Hamsani pada minit ke-25.
Malaysia yang mendominasi permainan, berjaya memperolehi dua gol lagi masing-masing menerusi Mohamad Akhimullah Anuar Esook dan Muhajir Abdu Rauf pada minit ke-36 serta m-48.
Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan memastikan kemenangan mutlak buat skuad negara apabila menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-54 sekaligus membolehkan Malaysia mengumpul tiga mata pertama.
Ketua Jurulatih The Speedy Tigers, Sarjit Singh berkata secara keseluruhan para pemain menunjukkan prestasi yang baik dan banyak mencipta peluang.
Jelasnya, walaupun banyak peluang dicipta namun beliau mengakui sentuhan penyudah perlu dipertajamkan lagi dan diperbaiki dengan kadar segera.
“Prestasi kita bagus dan kami mencipta banyak peluang tetapi gagal menjaringkan gol. Kami perlu ambil kesempatan ini dari awal permainan tetapi kami melepaskan begitu sahaja. Kami ambil masa lama (untuk mendapatkan jaringan) tapi bagi saya, masih ok kerana ini perlawanan pertama.
“Kredit harus diberi kepada pemain, cuma masalah utama kami adalah dibahagian penyudah. Kami mesti pastikan penyudah kami lebih baik,” kata Sarjit.
The Speedy Tigers akan meneruskan aksi kedua Kumpulan B, esok berdepan Korea Selatan dan Sarjit berharap anak buahnya dapat memanfaatkan peluang sebaik mungkin dalam bentuk jaringan.
Beliau juga mengingatkan anak buahnya untuk memperkemaskan permainan terutama ketika bertahan supaya tidak melakukan kesilapan sehingga memberi kelebihan kepada pasukan lawan.
“Kami perlu bertahan dengan lebih baik dan perlu ambil kesempatan deretan peluang itu sebaik mungkin kerana kalau dapat memanfaat peluang dengan jaringan, saya yakin kami tiadak akan berdepan masalah (untuk menang),” jelasnya.









