Temasya SUKMA XXI, Sarawak 2024, acara hoki bagi Kategori Lelaki yang berlangsung di Stadium Hoki Negeri Sarawak, Padungan, menyaksikan lapan pasukan daripada empat kumpulan mengesahkan slot di suku akhir selepas berakhirnya aksi pusingan kumpulan, hari ini.
Pahang, Sabah (Kumpulan A), Johor, Melaka (Kumpulan B), Perak, Perlis (Kumpulan C), dan Wilayah Persekutuan, Terengganu (Kumpulan D) mengisi slot tersebut selepas masing-masing muncul selaku juara dan naib juara kumpulan.
Saingan hebat bagi aksi terakhir Kumpulan B berlangsung hari ini selepas Pulau Pinang serta Melaka turun dengan misi merebut slot ke suku akhir dan kemenangan 4-3 yang diraih Melaka membawa mereka ke suku akhir.
Pengendali Melaka, Nor Ikhram Sulaiman memberikan kredit kepada barisan pemainnya yang telah menunjukkan semangat juang yang cukup tinggi sehingga berjaya meraih kemenangan pada perlawanan yang cukup penting untuk membawa mereka ke suku akhir.

“Saya memuji barisan pemain yang mengikut perancangan pasukan selain mereka berjaya memperbaiki kelemahan yang berlaku pada perlawanan sebelum ini ketika menentang Johor.
“Pemain juga telah mengikut setiap perancangan dengan baik dan berjaya menutup kelemahan pasukan sehingga menewaskan Pulau Pinang.
“Untuk SUKMA edisi kali ini, Melaka meletakkan sasaran untuk lebih memberikan pendedahan kepada pemain yang rata-rata masih boleh beraksi pada SUKMA 2026 nanti.
“Persatuan Hoki Melaka juga ingin melihat pemain beraksi pada tahap terbaik yang mampu mereka capai dan pasukan akan cuba untuk memberikan aksi yang terbaik pada aksi suku akhir nanti,” jelasnya.
Sementara itu, juara bertahan, Pahang, berjaya mencapai sasaran pertama mereka iaitu muncul selaku juara kumpulan dan sekaligus meletakkan mereka di landasan terbaik untuk terus mencabar kejuaraan bagi edisi kali ini.

Pengendali Pahang, Mohd Sufian Mohamad menzahirkan ucapan tahniah buat anak-anak buahnya yang melangkah ke suku akhir, namun masih belum berpuas hati dengan apa yang telah ditampilkan oleh barisan pemainnya dan menyifatkan terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang aksi seterusnya.
“Bahagian serangan masih kelihatan sedikit tumpul dalam menterjemahkan jaringan selain pukulan sudut penalti juga perlu dipertajamkan lagi kerana kami melepaskan banyak peluang menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti.
“Bagaimanapun saya melihat peluang untuk kami mempertahankan kejuaraan bagi edisi kali ini adalah seimbang. Cuma pemain perlu ingat dan sentiasa tidak mengambil mudah dalam perlawanan yang akan datang.
“Apabila beraksi di peringkat suku akhir, perlawanan akan menjadi lain dan kami akan terus mengkaji permainan pasukan lawan selain merancang taktikal yang akan digunakan dalam pusingan suku akhir nanti,” jelas beliau.
Sementara itu kedudukan selaku juara dan naib juara bagi kumpulan D hanya akan diketahui esok selepas penentuan shoot-out dijalankan ekoran Wilayah Persekutuan dan Terengganu berkongsi mata, jumlah jaringan serta jumlah bolos.
Ini sekaligus menyaksikan Johor dan Melaka hanya akan mengetahui lawan yang akan mereka temui di pusingan suku akhir selepas penentuan shoot-out dijalankan sementara Juara Kumpulan A, Pahang akan turun bertemu naib juara kumpulan C, Perlis dan Juara Kumpulan C, Perak akan bertemu naib juara Kumpulan A, Sabah.










