TNB MHL 2026 Tampilkan Kelainan

TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2026 Kategori Premier dan Wanita yang menghimpunkan pemain-pemain hoki terbaik sama ada di Malaysia mahupun pemain antarabangsa, kembali menemui peminat sukan hoki tanah air bermula 11 April ini.

 

Selain daripada pemain-pemain yang bakal beraksi dilihat menjadi tarikan, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) turut memberikan suntikan kelainan pada musim ini dengan menggunakan format timbal balik bagi Kategori Premier sementara Kategori Wanita akan meneruskan format liga satu pusingan.

 

Ini sekaligus menyaksikan 7 Pasukan di Kategori Wanita dan 9 Pasukan Kategori Premier akan memulakan cabaran pada 11 April hingga 17 Mei. Manakala pusingan kedua (timbal balik) Kategori Premier pula akan kembali bersambung selepas berakhirnya Sukan Asia ke-20 di Aichi-Nagoya, Jepun akan berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober 2026.

 

Penampilan 7 pemain import (5 pemain di pasukan Premier dan 2 Wanita) dilihat turut menjadi nilai tambah bagi musim ini. Kelainan yang turut dibawa pada musim ini menyaksikan sesebuah pasukan, boleh menggunakan khidmat 8 pemain kebangsaan dan import antarabangsa dalam satu-satu masa berbanding hanya 6 pemain dibenarkan pada musim lalu.

 

Tenaga Nasional Berhad (TNB Thunderstars) bakal menjadi tumpuan, selepas membariskan 16 pemain kebangsaan yang mana ia merupakan rekod tertinggi sesebuah pasukan membariskan pemain kebangsaan selain turut mengekalkan import Korea Selatan, Jang Jong Hyun (yang telah kembali menyarung jersi kebangsaan Korea Selatan) untuk tahun ketiga berturut-turut.

 

Pada sidang media yang berlangsung hari ini di Pejabat KHM, Ketua Pegawai Eksekutif KHM, En. V Jayanandhan turut mengesahkan Persekutuan Hoki Asia (AHF) akan memainkan peranan dalam menilai pengadil-pengadil yang bertugas bagi musim ini.

 

Peranan yang dimainkan oleh AHF pada saingan kali ini akan memberikan cabaran kepada pengadil-pengadil yang bertugas kerana penilaian yang dilakukan akan memberikan impak kepada peluang mereka untuk dinaiktaraf selaku panel antarabangsa yang turut membuka peluang buat mereka bertugas di kejohanan-kejohanan berstatus antarabangsa.

 

“Selepas berbincang bersama AHF, mereka bersetuju untuk menghantar pengadil-pengadil daripada Asia untuk bertugas pada saingan liga musim ini.

 

“Dalam masa yang sama, AHF juga akan menilai pengadil-pengadil yang bukan berstatus antarabangsa untuk dinaiktaraf kepada status Pengadil Antarabangsa.

 

“Penilaian ini bukan sahaja menyaksikan pengadil berstatus antarabanga akan lebih teliti dalam mengadili perlawanan, tetapi pengadil yang bukan berstatus antarabangsa juga akan berusaha untuk menaiktaraf diri ke tahap yang lebih baik,” jelas beliau yang turut mengesahkan seramai 39 Pegawai Teknikal dan 50 pengadil tempatan terlibat bertugas bagi liga musim ini.

 

Aksi pembukaan TNB MHL 2026 pada Sabtu ini (11 April) akan menemukan Terengganu Hockey Team (THT) dan TNB Thunderstars bagi merebut Piala Sumbangsih sekaligus menyumbang sebanyak RM 5000 kepada Pusat Jagaan Sinar Insan yang kini menjadi tempat pelindungan kepada bekas pemain hoki remaja kebangsaan, Mohamad Asmawi Zaidi yang juga pernah mewakili Terengganu di Sukan Malaysia (SUKMA).

 

Untuk rekod, ini merupakan senarai pemain antarabangsa (Guest Players – GP) yang akan beraksi di TNB MHL 2026.

LELAKI

NO JERSI NAMA NEGARA ASAL PASUKAN
25 JANG JONG HYUN KOREA SELATAN TNB
22 DILRAJ SINGH GAUTAM SINGH INDIA THT
19 SAMKELO MVIMBI AFRIKA SELATAN THT
20 KEENAN CRAIG HORNE AFRIKA SELATAN THT
36 MOCHAMAD FATHUR ROHMAN INDONESIA MAYBANK

WANITA

NO JERSI NAMA NEGARA ASAL PASUKAN
15 JYOTI CHHANTRI INDIA NEGERI SEMBILAN
16 VANDANA KATARIYA INDIA NEGERI SEMBILAN