Young Tigers menunjukkan kebangkitan apabila membelasah Switzerland 7-3 dalam aksi klasifikasi tempat ke-13 hingga ke-16, Piala Dunia Remaja 2025 yang berlangsung di Stadium Hoki Mayor Radhakrishnan, Chennai, hari ini.
Selepas tewas 3-1 kepada Afrika Selatan dalam aksi klasifikasi 9–16 sebelum ini, skuad muda negara turun dengan azam baharu untuk menebus kekecewaan, dan mereka berjaya melakukannya dengan penuh bergaya.
Aksi bermula dengan tempo tinggi apabila Malaysia hanya memerlukan lima minit untuk membuka tirai jaringan melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan Muhammad Aqil Danial Mat Ruslee.
Seminit kemudian, stadium bergema lagi apabila Muhammad Handzalah Abdul Hadi pula mengukuhkan kedudukan, turut menerusi pukulan sudut penalti.
Switzerland bagaimanapun pantas memberi reaksi dan merapatkan jurang pada minit ke-13 menerusi penyudah Max Fishbach, tetapi Malaysia tetap tampil dominan dalam setiap serangan yang dilancarkan.
Minit ke-19 menyaksikan Young Tigers kembali selesa di depan apabila Muhammad Harris Iskandar Osman tenang menyempurnakan penalti strok untuk menjadikan kedudukan 3-1.
Tidak lama selepas itu, pada minit ke-21, Rahul Fazrien Muhammad menambah derita Switzerland apabila bijak memanfaatkan ruang untuk menghasilkan gol padang yang kemas.
Memasuki babak kedua, Switzerland cuba bangkit melalui jaringan Leonard Kraxner pada minit ke-32, namun kebangkitan itu segera dipadam Young Tigers yang kembali menggandakan tekanan.
Azimuddin Syakir Kamaruddin menambah satu lagi gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-37, sebelum Aqil Danial meledak gol keduanya dalam perlawanan pada minit ke-43.
Malaysia terus mengganas apabila Muhammad Danish Aiman Khairul Anuar menambah gol ketujuh pasukan pada minit ke-46 hasil satu lagi jaringan padang yang cukup berkualiti.
Switzerland cuba mengekang asakan tanpa henti pasukan negara dan berjaya menambah satu gol lewat permainan menerusi Yannick Hug, pada minit ke-53, namun ia tidak cukup untuk mengubah nasib mereka dalam perlawanan ini.
Ketua Jurulatih Young Tigers, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, melahirkan rasa puas hati terhadap persembahan anak buahnya sambil menyifatkan mereka berjaya melaksanakan semua perancangan taktikal yang dirancang sebelum perlawanan.
“Hari ini nampak kita bermain baik seperti apa yang kita rancang sebelum perlawanan, pemain dapat peluang dan menjaringkan gol terutama kita ada gol padang dan pukulan sudut penalti.
“Kita cuba bermain baik pada suku pertama dan kedua, ia berhasil. Seterusnya pada suku ketiga dan keempat kita dapat kawal permainan sepenuhnya dan menang dengan 7-3.
“Pentingnya kita tengok di sini saiz fizikal pemain Switerland agak besar apabila kita masuk dalam kawasan D lawan, agak sukar untuk membuat pukulan.
“Apabila kita dapat PC,kita tahu untuk menyempurnakan sebab semalam kita tengok bagaimana Switzerland bertahan pada aksi sebelumnya maka kita menggunakan kelemahan pertahanan lawan ketika berdepan PC untuk menjaringkan gol,” katanya selepas perlawanan.
Seterusnya, skuad muda negara akan berehat selama dua hari dan akan bertemu Jepun pada penentuan tempat ke-13 dan ke-14, Nor Saiful mahu menggunakan tempoh itu sebaik mungkin untuk merangka strategi terbaik untuk mencatat kemenangan.
“Pada pandangan saya Jepun bukan satu pasukan yang mudah dan jika tengok semasa mereka bermain dengan Australia mereka kalah 1-0, tadi mereka menang dengan Chile.
“Mereka ada struktur permainan dan pemain mereka sudah matang bermain dalam kejohanan ini. Kita kena kaji dan analisis cara mereka bermain dalam masa rehat dua hari ini.
“Selepas itu kita akan menyusun strategi bagaimana bertemu Jepun dan perkara penting kita kena kurangkan keberadaan mereka dalam kawasan D kita, bagi PC dan juga kurangkan menerima kad. ini juga perlu diambil kira semasa menentang Jepun,” katanya.









