Young Tigers Belasah Kanada, Keyakinan Memuncak Ke Final

Kemenangan besar 6-1 ke atas Kanada secara tidak langsung melonjakkan semangat dan keyakinan Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan menghadapi final Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 menetang Pakistan esok.

 

Ketua Jurulatih Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menuntut para pemain agar mengekalkan ketajaman sama di hadapan gawang gol dalam aksi final di Stadium Hoki Taman Daya itu nanti.

 

“Kita bermain dengan baik tetapi masih ada sedikit kelemahan seperti melepaskan peluang untuk menambah jaringan sebab esok adalah perlawanan yang lebih penting.

 

“Pakistan bukan lawan mudah, bahagian tengah dan serangan mereka sangat laju. Kemahiran bola juga bagus. Jadi pemain kita perlu tahu bagaimana untuk mengawal permainan esok.

 

“Kita juga kena banyakkan peluang di kawasan mereka dan perkara paling penting adalah kita perlu menjaringkan gol,” katanya.

 

Dalam aksi terakhir liga sepusingan hari ini, Young Tigers terlebih dahulu dikejutkan gol awal oleh Kanada menerusi jaringan padang Chandi Navdip pada minit ketujuh.

 

Bagaimanapun, barisan muda negara hanya mengambil masa dua minit untuk menunjukkan reaksi balas dengan gol penyamaan daripada Muhammad Hafiezuddin Mohd Ali.

 

Gol itu menyemarakkan semangat Young Tigers yang kemudiannya menghasilkan tiga lagi gol sebelum tamat babak pertama menerusi T. Naaveennash Paniker (m-15), Muhammad Faiz Afzan Mohd Faizal (m-22) dan Rahuul Fazrien Muhammad Nazrien pada minit ke-30.

 

Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan memastikan kemenangan selesa 6-1 ke atas Kanada dengan dua lagi gol di suku keempat hasil pukulan sudut penalti Dheeressh Gunaseelan dan Muhammad Safwan Salihe pada minit ke-41 serta 45.

 

Sementara itu, Pakistan mengesahkan tempat ke final apabila menamatkan liga sepusingan di tempat kedua selepas mengikat Jepun 2-2.

 

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia bergelar juara SOJC sewaktu penganjuran edisi pertama pada 2011.