Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (Wanita) 2024 Rajgir, Bihar, India yang akan membuka tirai pada 11 hingga 20 November ini menyaksikan Malaysian Tigress bakal mempertaruhkan 10 pemain daripada skuad remaja yang akan turut beraksi di kejohanan Piala Remaja Asia 2024, Disember nanti.
Menerusi senarai barisan 20 pemain itu juga, empat pemain, Zawiatul Akma Hartomo (pertahanan), Nur Aisyah Che Musa (tengah), Nurathirah Fitriah Syamsul Adzuanizam (penyerang) dan Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi (penyerang) bakal meraih caps antarabangsa pertama mereka sekiranya diturunkan pada kejohanan tersebut.
Siri latihan bersama Pasukan Wanita Kebangsaan Wales pada 28 Julai hingga 11 Ogos lalu antara persiapan yang dilakukan Malaysian Tigress menuju ke Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia dan Pengurus Pasukan Wanita Kebangsaan, Rogayah Mohamad menuntut setiap daripada pemain untuk memberikan persembahan terbaik mereka dalam semua perlawanan yang dilalui serta turun beraksi dengan jiwa berjuang untuk negara.
“Setiap pasukan yang turun dalam apa-apa kejohanan mahukan pasukan mereka meraih kemenangan, namun kami bersikap realistik di mana kejohanan ini menampilkan pasukan-pasukan gergasi Asia. Bagaimanapun kami mahukan setiap pemain melakukan sehabis baik yang mereka mampu ketika beraksi.
“Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2023 ketika di Ranchi, kami mengikat Korea 1-1 dan tidak mustahil jika pemain turun dengan semangat dan jiwa yang besar mereka mampu untuk melakukan kejutan. Namun pasukan juga akan terus berwaspada dengan pasukan seperti Thailand yang pastinya akan memberikan tentangan kepada kami,” jelasnya.
Walaupun Pasukan Wanita Kebangsaan terpaksa melupakan khidmat empat pemain utama yang berpengalaman (Hanis Nadiah Onn, Nuramirah Shakirah Zulkifli, Siti Nur Arfah Mohd Nor dan Siti Zulaikha Husain) akibat kecederaan yang dialami, namun Ketua Jurulatih Wanita Keabngsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim, melihat ia sebagai peluang terbaik untuk pemain muda dan pemain baru menyerlahkan kemampuan mereka beraksi di pentas antarabangsa.
“Walaupun ketiadaan beberapa pemain utama termasuk mereka yang pernah beraksi pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia edisi lalu, saya percaya 20 pemain yang dipilih ini akan memberikan persembahan terbaik mereka selain saya yakin, pemain senior yang sedia ada akan membantu pemain-pemain lain untuk lebih menyerlah di peringkat antarabangsa.
“Permainan hoki moden sudah berubah dan perlawanan menjadi semakin pantas. Saya yakin gabungan pemain muda serta pemain senior yang mempunyai skill hoki yang baik bakal menjadi ramuan terbaik pasukan dalam memberikan tentangan kepada lawan kami nanti.
“Aksi pertama menentang India juga adalah cabaran yang baik untuk kami kerana bertemu dengan pasukan seperti India pastinya membuka ruang kepada semua pemain untuk mereka pamerkan tahap kebolehan sebenar mereka.
“Aksi pertama itu juga akan kami jadikan sebagai kayu pengukur kekuatan sebenar pasukan bagi kami barisan kejurulatihan membuat analisa tentang kebolehan setiap pemain dan bersiap sedia untuk menghadapi perlawanan seterusnya,” jelas beliau yang akan berlepas bersama pasukannya ke India pada Khamis, (7 November).
Berikut merupakan senarai 20 pemain yang akan menggalas tanggungjawab membawa cabaran Malaysia di Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (Wanita) 2024 Rajgir, Bihar, India.
NO | NAMA | POSISI | UMUR | CAPS
ANTARABANGSA |
1 | Siti Zalia Nasir | Penjaga Gol | 23 | 12 |
2 | Fitrinur Amiera Ramlee | Penjaga Gol | 22 | 2 |
3 | Juliani Mohamad Din (Kapten) | Pertahanan | 39 | 204 |
4 | Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin | Pertahanan | 22 | 15 |
5 | Nur Nabila Alia Yussaini | Pertahanan | 22 | 14 |
6 | Dayang Nuramirah Abang Mahadini | Pertahanan | 23 | 29 |
7** | Anith Humairah Baharudin | Pertahanan | 21 | 10 |
8** | Zawiatul Akma Hartomo | Pertahanan | 20 | 0 |
9 | Nurul Fatin Fatiah Azman | Tengah | 22 | 24 |
10** | Siti Nur Irdina Mohd Nor | Tengah | 20 | 19 |
11 | Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad | Tengah | 23 | 56 |
12 | Nur Insyirah Effarizal | Tengah | 22 | 29 |
13** | Nur Aisyah Che Musa | Tengah | 19 | 0 |
14** | Thibatharshini James | Tengah | 21 | 3 |
15** | Nur Shamine Azureen Mohammad Badusha | Penyerang | 19 | 14 |
16** | Azmyra Mia Sofea Azhairy | Penyerang | 20 | 19 |
17** | Zati Alyani Muhammad Zubir | Penyerang | 19 | 3 |
18 | Nur Afiqah Syahzani Azhar | Penyerang | 24 | 29 |
19** | Nurathirah Fitriah Syamsul Adzuanizam | Penyerang | 20 | 0 |
20** | Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi | Penyerang | 18 | 0 |
** Pemain Remaja Kebangsaan
Berikut merupakan jadual perlawanan Malaysian Tigress dalam pusingan round robin di Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (Wanita) 2024 Rajgir, Bihar, India.
HARI | TARIKH | PERLAWANAN | MASA |
Isnin | 11/11/2024 | India lwn Malaysia | 10:00 malam |
Selasa | 12/11/2024 | China lwn Malaysia | 7:45 malam |
Khamis | 14/11/2024 | Korea lwn Malaysia | 5:30 petang |
Sabtu | 16/11/2024 | Malaysia lwn Jepun | 5:30 petang |
Ahad | 17/11/2024 | Malaysia lwn Thailand | 5:30 petang |
** Masa perlawanan adalah Waktu Malaysia