9 Perlawanan Buka Gelanggang TNB Piala Tun Abdul Razak 2025

Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak edisi ke-63 (Lelaki) dan edisi ke-10 (Wanita) membuka tirai secara rasmi hari ini dengan menyajikan sembilan perlawanan sengit di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

 

Saingan penuh tradisi yang menghimpunkan pasukan negeri dan Polis Diraja Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia itu sekali lagi menjadi pentas utama buat pemain-pemain tempatan membuktikan kemampuan mereka di peringkat tertinggi.

 

Bagi Kumpulan A lelaki, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuka kempen dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kedah.

 

Kejayaan itu memberi tonik penting buat ATM meneruskan rentak kemenangan pada perlawanan seterusnya.

 

Dalam satu lagi aksi, Kuala Lumpur turut mengutip tiga mata berharga selepas menewaskan PDRM dengan keputusan sama, 2-1.

 

Kemenangan itu membuktikan skuad ibu kota mampu menjadi pencabar utama dalam perebutan kejuaraan pada edisi kali ini.

 

Perlis pula mencuri tumpuan apabila menundukkan Sabah 3-2 dalam perlawanan yang berlangsung sengit sehingga ke penghujung permainan.

 

Sementara itu, saingan Kumpulan B lelaki turut rancak dengan Pahang membuka kempen penuh bergaya menundukkan Selangor 3-1. Prestasi mantap yang dipamerkan jelas menunjukkan mereka tidak boleh dipandang mudah.

 

Dalam satu lagi aksi, Melaka berjaya menumbangkan Perak dengan keputusan 5-2. Aksi bertenaga pasukan Melaka itu memberi isyarat bahawa mereka berhasrat mencipta lebih banyak kejutan sepanjang kejohanan ini.

 

Aksi Pulau Pinang berdepan Negeri Sembilan mensajikan pertarungan paling sengit apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan mengakhiri perlawanan dengan keputusan 7-7.

 

Beralih ke saingan wanita, Kumpulan B menyaksikan Terengganu terpaksa akur apabila tewas tipis 1-2 di tangan Sabah. Walaupun cuba memberi tentangan hingga ke saat akhir, skuad pantai timur gagal meraih mata.

 

Perlawanan lain menyaksikan Selangor berpesta gol membelasah Kedah 9-2, manakala Pahang mengutip kemenangan sulung selepas menewaskan Pulau Pinang 2-1.

 

Permulaan yang rancak ini menandakan Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2025 akan terus menawarkan aksi menarik sepanjang saingan berlangsung terutama dalam saingan lelaki yang bermain tanpa 47 pemain skuad kebangsaan senior dan remaja.