Malaysian Tigresses keempat terbaik ACT 2026

Malaysian Tigresses keempat terbaik ACT 2026

Meskipun terlepas menaiki podium tetapi pujian tinggi buat Skuad Senior Wanita Kebangsaan kerana menematkan kempen Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 sebagai pasukan tempat keempat terbaik Asia.

Ia adalah satu pencapaian membanggakan buat The Malaysian Tigresses selepas menunjukkan peningkatan menarik sepanjang kejohanan walaupun tewas 2-5 kepada Jepun dalam penentuan tempat ketiga dan keempat di Bhopal, India hari ini.

Ternyata, pengalaman dimiliki barisan pemain Jepun yang sudah biasa beraksi di pentas tertinggi seperti Sukan Olimpik dan Piala Dunia menjadi perbezaan utama dengan Skuad Senior Wanita Kebangsaan.

Begitupun, anak-anak buah C.R. Kumar masih berupaya memberikan tentangan kepada Jepun dengan meraih lebih banyak pukulan sudut penalti berbanding pemenang pingat gangsa Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 itu.

Dalam perlawanan itu, Risa Sasaki muncul wira Jepun apabila meledak hatrik menerusi dua jaringan padang pada minit ke-11 dan 47 serta satu pukulan sudut penalti (m-32).

Baki dua lagi gol Jepun yang berada di ranking ke-11 dunia itu dihasilkan oleh Nanami Kaneko pada minit ke-23 dan 55, masing-masing menerusi jaringan padang.

Skuad Senior Wanita Kebangsaan layak berbangga kerana berjaya menghasilkan dua gol ke atas Jepun menerusi pukulan sudut penalti Fatin Shafika Mahd Sukri (m-22) dan jaringan padang Nuramirah Shakirah Zulkifli pada minit ke-28.

Ini adalah kali pertama Malaysian Tigresses yang kini menghuni No.19 dunia, berjaya meledak dua gol dalam satu perlawanan ke atas Jepun dalam tujuh pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan.

Kali terakhir Skuad Senior Wanita Kebangsaan melakukannya adalah ketika menang 3-2 ke atas Jepun pada saingan ACT 2018.