Skuad Senior Wanita Kebangsaan berjaya melakar kemenangan pertama dalam saingan Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 di Bhopal, India dengan menewaskan Korea Selatan 3-1 hari ini.
Kemenangan itu amat bermakna kerana ini adalah kali pertama pasukan yang dominan dalam kelompok empat teratas Asia seperti Korea Selatan akhirnya tewas kepada The Malaysian Tigress.
Malah, tiga mata berharga itu turut mencerahkan peluang Skuad Senior Wanita Kebangsaan yang memasang impian untuk memecah masuk ‘Big 4’ Asia buat kali pertama dengan mara ke separuh akhir kejohanan nanti.
Semangat dan motivasi barisan pemain ternyata berada di tahap tertinggi susulan kejayaan mereka mengikat China yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024 dengan keputusan 2-2 semalam.
Ia terbukti apabila Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-33.
Walaupun Korea Selatan yang berada di ranking ke-17 dunia itu hanya mengambil masa tiga minit untuk bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan PC Seunghwa Mun, namun ia tidak mematahkan semangat perjuangan pemain-pemain negara.
Hasilnya, Nuramirah Syakirah Zulkifli kembali memastikan The Malaysian Tigresses mendahului 2-1 menerusi jaringan padang pada minit ke-38 sebelum Siti Nur Irdina Mohd Nor mengesahkan kemenangan 3-1 dengan penalti stroke di penghujung aksi.
Ini adalah kemenangan pertama Skuad Senior Wanita Kebangsaan ke atas Korea Selatan selepas tewas dua pertemuan terdahulu dengan kali terakhir menewaskan mereka pada dua tahun lalu.
Skuad bimbingan C.R. Kumar itu tidak boleh terlalu dibuai dengan kejayaan semasa kerana masih mempunyai baki dua perlawanan peringkat liga sepusingan menentang Jepun dan Thailand pada Selasa dan Rabu ini.









