TNB Thunderstar Julang Kejuaraan Liga TNB MHL 2026

TNB Thunderstar mengesahkan kejuaraan liga, TNB Liga Hoki Malaysia (TNBMHL) 2026 musim ini meskipun tewas 1-2 kepada Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam aksi terakhir liga yang berlangsung di Stadium Hoki TNB, UNITEN hari ini.

Walaupun kekalahan itu memadam rekod cemerlang mereka yang sebelum ini tidak tewas dalam 11 perlawanan berturut-turut, namun barisan pemain TNB Thunderstar tetap ceria menjulang gelaran berkenaan.

Ini disebabkan TNB Thunderstar berjaya merampas semula kejuaraan TNB MHL selepas terlepas memenanginya pada tahun lalu yang menyaksikan mereka muncul naib juara.

Ketua Jurulatih TNB Thunderstar, Mohd Madzli Ikmar Mohd Nor gembira dengan kejayaan itu yang mana barisan pemainnya sebenarnya telah lebih awal mengesahkan trofi berkenaan ketika menewaskan Young Elephants Pahang 16-0 dua hari lalu.

“Alhamdulillah kita capai sasaran untuk menjadi juara liga dan sekarang ada satu lagi trofi menanti selepas ini iaitu Piala TNB.

“Saya harapkan para pemain teruskan momentum dan paling penting bebas daripada kecederaan sebab selepas ini mereka akan bermain di Piala Sultan Azlan Shah,” katanya.

Dalam aksi itu, TNB Thunderstar terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi pada minit keempat, namun cuma bertahan seminit sebelum THT menyamakan kedudukan melalui Muhammad Firhan Ashari.

THT memastikan kemenangan hasil jaringan Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran pada minit ke-44 sekali gus mengesahkan status naib juara TNB MHL musim ini.

Bagi Ketua Jurulatih THT, Mohd Harfizi Baharom, beliau berbangga dengan reaksi ditunjukkan anak-anak buahnya meskipun menyedari perlawanan itu sudah tidak membawa apa-apa makna dalam perebutan kejuaraan liga.

“Kita tahu sudah tak boleh juara liga, tetapi kita tetap dengan mentaliti untuk cuba dapatkan tempat terbaik iaitu No.2 liga dan ia tercapai.

“​Kemenangan ini penting untuk kami terus kekal di kedudukan kedua liga tanpa perlu menunggu mana-mana perlawanan yang terakhir. Jadi pujian buat pemain sebab mengharungi perlawanan ini dengan mentaliti yang sangat baik,” jelasnya.