Pengorbanan selama 41 hari di bumi Afrika Selatan pada pertengahan tahun ini kini mula menampakkan hasil buat Skuad Senior Lelaki Kebangsaan apabila berjaya menaiki podium antarabangsa kedua dalam tempoh sebulan.
Selepas meraih pingat perak Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 awal Oktober lalu, Speedy Tigers meneruskan momentum itu dengan memenangi tempat ketiga Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 di Punjab, India.
Kejayaan itu diraih menerusi kebangkitan yang dipamerkan di babak kedua selepas ketingalan 1-2 untuk menewaskan Korea Selatan 5-2 dalam penentuan tempat ketiga dan keempat hari ini.
Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Brendon Carolan menganggap ia satu pencapaian positif meskipun masih kecewa terlepas beraksi di pentas final kejohanan ini.
“Sudah tentu setiap pasukan mahu beraksi di final. Jadi, memang mengecewakan apabila kami gagal melangkah ke final, namun, saya fikir jurang antara pasukan tidaklah terlalu besar.
“Dalam perlawanan menentang Jepun, jelas sekali pukulan sudut penalti antara aspek yang perlu diperbaiki. Jika dapat memperkemaskan aspek tersebut, kami berpeluang untuk kembali beraksi di pentas final.
“Kami baru sahaja mengharungi Sukan Asia, jadi persiapan kami sebenarnya lebih menjurus kepada perancangan jangka panjang. Jadi kejayaan meraih pingat dua kejohanan berturut-turut satu perkembangan positif,” katanya.
Aksi babak pertama menyaksikan Korea Selatan berjaya menghasilkan dua gol menerusi Park Geunwoo dan Chun Semin pada minit kelima serta 13, memadam gol awal Speedy Tiger daripada Fitri Saari seawal minit kedua.
Baki 30 minit terakhir dikuasai sepenuhnya oleh Skuad Senior Lelaki Kebangsaan dan terhasilnya empat lagi jaringan, bermula Faizal Saari pada minit ke-34 diikuti dua daripada Azrai Aizad Abu Kamal (m-45, m-50) dan Muhammad Marhan Mohd Jalil (m-58).
Kejayaan itu menebus duka skuad negara yang terlepas tiket final selepas tewas 3-5 kepada Jepun menerusi penalti shoot-out setelah seri 0-0 dalam aksi separuh akhir kelmarin.
Pingat gangsa tetap dianggap satu pencapaian hebat daripada Speedy Tigers kerana edisi 2025 mereka menamatkan ACT di tangga keenam.
Dan tidak mustahil barisan pemain mampu untuk terus menunjukkan satu lagi prestasi cemerlang apabila turun ke Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak bermula 20 hingga 28 November ini.









