Speedy Tigers kekalkan rekod kemenangan bersih

Speedy Tigers kekalkan rekod kemenangan bersih

Rekod cemerlang Skuad Senior Lelaki Kebangsaan pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2026 berterusan apabila kali ini bangkit daripada ketinggalan untuk menang 4-2 ke atas Amerika Syarikat hari ini.

Meskipun gawang Speedy Tigers akhirnya bolos buat kali pertama dalam kejohanan edisi ke-32 ini, namun ia sama sekali tidak menghalang pasukan untuk merekodkan kemenangan ketiga berturut-turut.

Kemenangan itu turut memberikan kenangan tersendiri buat Pemain Terbaik Perlawanan, Adam Asyraf Johari yang berjaya meledak gol antarabangsa pertamanya di peringkat senior.

“Alhamdulillah saya sangat gembira tetapi sebenarnya saya tak jangka pun ia menjadi gol. Saya cuba buat yang terbaik, pukul saja bola itu dan saya hadiahkannya kepada para penyokong terutama ahli keluarga saya.

“Namun, masih ada kekurangan yang saya perlu baiki dan saya harap dapat perkemaskan lagi aspek permainan saya menentang Pakistan esok,” katanya.

Dalam aksi di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak itu, Amerika Syarikat yang baru kali pertama membuat penampilan, terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi gol padang Wyatt Katz pada minit ketujuh.

Namun, ia tidak bertahan lama apabila Faizal Saari menyamakan kedudukan buat Skuad Senior Lelaki Kebangsaan selepas menampan masuk hantaran Faiz Helmi Jali di hujung suku pertama.

Faiz Helmi juga menunjukkan kelasnya yang tersendiri apabila membuat larian solo ke dalam kawasan D sebelum melepaskan pukulan deras untuk meledak gol kedua Speedy Tigers pada minit ke-20.

Gol ketiga Speedy Tigers pula hadir menerusi gerakan menimbang bola menarik daripada Adam Asyraf yang berjaya mengelirukan pemain-pemain pasukan lawan termasuk penjaga gol pada minit ke-40.

Skuad Senior Lelaki Kebangsaan terus mengganas dan berjaya meraih gol keempat, sekali lagi menerusi Faizal yang membuat biasan daripada hantaran Andywalfian Jeffrynus pada minit ke-43.

Ia adalah jaringan ketujuh peribadi Faizal yang kini kembali merampas carta penjaring terbanyak kejohanan, dua mengatasi Nathan Ephraums dari Australia.

Usaha Amerika Syarikat mencari gol kedua akhirnya berjaya menerusi jaringan padang Kei Kaeppeler pada minit ke-52.

Kemenangan itu mengekalkan rekod bersih Speedy Tigers yang memenangi kesemua enam pertemuan ke atas Amerika Syarikat sejak kali pertama kedua-dua pasukan bertemu pada Sukan Olimpik Melbourne 1956.

Skuad Senior Lelaki Kebangsaan akan meneruskan aksi menentang Australia esok dan Pakistan sehari kemudian yang mana dua perlawanan itu mampu menentukan peluang ke pentas final.