Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menyambut baik dan menyokong penuh keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) menaikkan insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi setiap ahli pasukan pemenang pingat emas di Sukan Asia / Para Asia dan Sukan Komanwel daripada RM15,000 kepada RM40,000, iaitu kenaikan 166.67%. Bagi pingat perak, insentif seorang naik daripada RM8,000 kepada RM20,000, manakala bagi gangsa daripada RM4,000 kepada RM10,000.
Kadar baharu ini terpakai kepada semua pasukan tanpa mengira bilangan ahli, termasuk pemenang pingat 2026. Ini merupakan kenaikan pertama kadar insentif berpasukan sejak ia ditetapkan pada tahun 2002. KHM menyifatkan langkah ini sebagai tepat pada masanya dan adil kepada atlet acara berpasukan.
Bagi hoki, penambahbaikan ini memberi kesan langsung kepada 20 pemain skuad hoki lelaki kebangsaan yang meraih pingat perak di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026. Di bawah kadar semasa, setiap pemain pasukan perak menerima RM8,000, berbanding RM40,000 bagi pemenang perak individu. Melalui penambahbaikan ini, nilai tersebut meningkat kepada RM20,000 seorang, iaitu kenaikan 150%.
Secara keseluruhan, 20 atlet hoki negara akan menerima bayaran tambahan berjumlah RM240,000, manakala jurulatih menerima tambahan RM48,000 di bawah Skim Galakan Jurulatih (SGAR), menjadikan jumlah keseluruhan RM288,000.
KHM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Dr Mohammed Taufiq Johari atas tindakan pantas beliau. Kadar ganjaran acara berpasukan ini tidak berubah selama 24 tahun, namun hanya seminggu selepas Majlis Penyampaian SHAKAM pada 3 November lalu, kenaikan ini telah dipersetujui. Ini membuktikan keprihatinan Kementerian terhadap atlet acara berpasukan negara.
Skuad hoki negara menewaskan pemenang pingat gangsa edisi 2022 di separuh akhir sebelum mara ke perlawanan akhir. Pencapaian ini membuktikan hoki negara mampu bersaing di peringkat tertinggi Asia, dan ia dicapai melalui disiplin serta kerja keras setiap ahli pasukan.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, menegaskan bahawa kejayaan dalam sukan hoki merupakan hasil usaha kolektif yang menuntut komitmen, pengorbanan dan dedikasi setiap individu dalam pasukan.
“Hoki bukan sukan yang dibina atas kehebatan seorang pemain. Ia adalah sukan berpasukan dengan setiap seorang memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan pada satu-satu kejohanan. Tiada jaringan terhasil dan tiada kemenangan dicapai tanpa sumbangan setiap pemain.
“Inisiatif ini juga hadir pada waktu yang amat signifikan, khususnya dalam usaha mengekalkan motivasi, semangat juang dan daya saing pemain menjelang Sukan SEA 2027 serta kempen kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028,” katanya.
KHM percaya, penambahbaikan dari segi ganjaran dan pengiktirafan bukan sahaja penting bagi mengekalkan khidmat pemain berpengalaman dalam skuad kebangsaan, malah menjadi pemangkin untuk menarik minat generasi muda menyertai sukan hoki serta melihatnya sebagai satu laluan kerjaya sukan yang berpotensi dan mempunyai masa depan.
Dalam pada itu, KHM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atas sokongan, kerjasama serta komitmen berterusan dalam memperkasa pembangunan sukan dan menjaga kepentingan atlet negara.
KHM percaya bahawa usaha membina kecemerlangan sukan negara memerlukan iltizam bersama semua pihak, dengan kebajikan atlet, pembangunan bakat dan pencapaian di pentas antarabangsa terus menjadi keutamaan.









