Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-32, yang akan berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, dari 20 hingga 28 November ini, menjadi medan buat The Speedy Tigers untuk memburu satu lagi pencapaian positif dan menutup kalendar antarabangsa 2026 dengan penamat di podium.
Skuad negara hadir dengan keyakinan selepas muncul naib juara Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan meraih tempat ketiga dalam Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2026 di Punjab, India. Bagi menghadapi cabaran di Ipoh, seramai 20 pemain disenaraikan, termasuk dua pemain daripada Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), merangkap Pengurus Pasukan Senior Lelaki Kebangsaan, Dato’ Najmi Razak, berkata, pasukan menyasarkan untuk mengekalkan momentum positif itu, lebih-lebih lagi apabila beraksi di laman sendiri. Bagaimanapun, beliau mengingatkan pemain supaya tidak terlalu dibuai kejayaan terdahulu kerana cabaran setiap kejohanan adalah berbeza.
“Peluang untuk menutup tahun 2026 dengan pencapaian positif menerusi kejohanan ini merupakan satu motivasi buat pasukan. Sudah tentu kami mahu memberikan yang terbaik kepada penyokong di tanah air.
“Apa yang lebih penting ialah memberikan tumpuan kepada satu perlawanan pada satu masa. Jika kita dapat mengekalkan disiplin, semangat berpasukan dan kualiti permainan, saya percaya kita mampu memberikan saingan sengit dan tidak mustahil menamatkan kejohanan di podium.
“Sepanjang tahun ini, pemain telah melalui pelbagai cabaran dan komitmen bersama pasukan kebangsaan. Kita mahu menjadikan Piala Sultan Azlan Shah sebagai pentas untuk membuktikan kemampuan pasukan serta mengekalkan momentum positif yang telah dibina,” katanya.
Bagi edisi kali ini, Malaysia bakal berdepan Australia, Pakistan, Korea, Kanada dan Amerika Syarikat. Skuad negara dijadualkan berkumpul di Ipoh pada 18 November dan akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Kanada pada hari yang sama. Senarai akhir 18 pemain yang akan didaftarkan bagi kejohanan akan dimuktamadkan selepas perlawanan tersebut.
Mengulas pemilihan dua pemain remaja, Dato’ Najmi berkata peluang itu penting untuk memberikan pendedahan di peringkat senior serta membantu mereka membuat persediaan bagi peralihan ke pasukan senior kebangsaan.
“Kita perlu menyediakan laluan yang jelas supaya pemain muda dapat berkembang dan seterusnya menjadi sebahagian daripada kekuatan pasukan kebangsaan pada masa hadapan.
“Peluang ini membolehkan mereka memahami tekanan dan tahap permainan, intensiti latihan serta disiplin yang diperlukan di peringkat antarabangsa.
“Pendedahan seperti ini merupakan antara langkah untuk memastikan Malaysia mempunyai barisan pemain yang mampu meneruskan legasi The Speedy Tigers,” tambah beliau.
Dato’ Najmi turut berharap peminat hoki tanah air, khususnya di Perak, hadir memberikan sokongan kepada The Speedy Tigers sepanjang kejohanan berlangsung. Menurut beliau, sokongan penyokong mampu menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk membawa cabaran Malaysia sebaik mungkin.
Malaysia akan memulakan kempen menentang Korea pada 20 November, diikuti Kanada (21 November), Amerika Syarikat (23 November), Australia (24 November) dan Pakistan (26 November). Perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat serta perlawanan akhir dijadualkan berlangsung pada 28 November.










