EMPAT gol padang dalam lima minit terakhir memastikan Skuad Senior Wanita Kebangsaan menang 4-0 ke atas Thailand, sekali gus mara ke separuh akhir Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 di Bhopal, India.
Ia satu pencapaian membanggakan buat The Malaysian Tigresses apabila akhirnya berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat teratas Asia buat kali pertama di bawah bimbingan ketua jurulatihnya, C.R. Kumar.
“Menerusi kemenangan ini, kami berjaya melangkah ke separuh akhir. Saya amat gembira dengan persembahan pemain dalam tempoh 10 minit terakhir.
“Jika bermain dengan corak agresif yang sama sejak awal perlawanan, mereka mampu lakukan sesuatu yang lebih baik. Saya harap mereka dapat mulakan permainan dengan pendekatan sama dalam aksi seterusnya,” kata Kumar.
Empat gol Skuad Senior Wanita Kebangsaan diperoleh masing-masing menerusi dua jaringan Nuramirah Syakirah Zulkifli pada minit ke-55 dan 60 dan Nur Afiqah Syahzani Azhar (m-56, m-60).
Dalam masa sama, Kumar tidak mahu mendabik dada dengan kejayaan ke separuh akhir, sebaliknya beliau menganggap ini adalah permulaan buat skuad bimbingannya melangkah ke tahap lebih besar di masa depan.
“Ini adalah satu proses kemajuan dan masih di fasa memperbaiki diri, mempelajari banyak perkara, selain mendapat pengalaman beraksi menentang pasukan-pasukan terbaik di Asia.
“Cabaran lebih berbeza di separuh akhir. Siapa sahaja lawan bakal dihadapi, kami tetap perlu turun beraksi. Kedudukan atau ranking bukan perkara utama, sebaliknya kami perlu berikan yang terbaik.
“Saya berharap suatu hari nanti pemain-pemain ini mampu beraksi jauh lebih baik berbanding tahap mereka sekarang,” jelasnya.
The Malaysian Tigresses menamatkan aksi liga sepusingan di kedudukan keempat dan bakal bertemu juara peringkat itu sama ada India atau Jepun di separuh akhir pada Jumaat ini.
Sebagai rekod, Skuad Senior Wanita Kebangsaan meraih tempat keempat ketika edisi 2024 dengan pencapaian terbaik adalah memenangi tempat ketiga di Kakamigahara, Jepun pada 2013.









