Biarpun turun sebagai penyandang juara Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) namun ia tidak dianggap sebagai satu tekanan kepada pasukan hoki lelaki negara untuk turun memulakan kempen kejohanan berprestij ini esok di Ipoh.

Sebaliknya, pasukan Speedy Tigers berwajah baharu ini lebih selesa mensasarkan untuk berada dikedudukan empat terbaik pada edisi ke-30.

Sasaran itu diberitahu penolong jurulatih Speedy Tigers, Mohamad Sukri Abdul Mutalib, pada sidang media melibatkan pasukan-pasukan yang bertanding di PSAS, hari ini.

Jelasnya, sasaran itu disifatkan realistik berikutan ia merupakan kejohanan pertama dilalui pasukan yang baharu dibentuk ini, dengan fokus utama adalah program jangka panjang.

“Tiada tekanan untuk kami pada kejohanan ini dan semua sedia maklum pasukan kali ini adalah gabungan pemain muda dan senior.

“Kita ada program jangka panjang dalam pasukan ini. Untuk kejohanan PSAS, saya harap pemain-pemain dapat memberikan aksi terbaik di atas padang.

“Sasaran pada kejohanan ini juga sekurang-kurangnya kita berada dalam kelompok empat terbaik,” katanya.

Malaysia yang berada di ranking ke-13 dunia akan memulakan kempen PSAS edisi ke-30 berdepan juara tiga kali, Pakistan di Stadium Hoki Azlan Shah, esok.

Untuk rekod pertemuan terakhir mereka di pentas PSAS adalah pada November 2022 yang menyaksikan keputusan berakhir 1-1 namun edisi ke-29 itu menyaksikan Speedy Tigers muncul juara buat kali pertama selepas 39 tahun sejak edisi pertama kejohanan tersebut dianjurkan pada 1983.

Bagi jurulatih Pakistan, Roelant Oltmans mengakui mengenali beberapa pemain dalam pasukan Malaysia dan bersedia memberi tentangan.

“Ada beberapa pemain yang saya kenali dan seperti apa dikatakan oleh Malaysia bahawa pasukan kali ini adalah pasukan baharu dibentuk.

“Saya tidak mempunyai informasi terlalu banyak tentang pasukan Malaysia tetapi saya harap perlawanan esok, kedua-dua pasukan akan bermain secara terbuka dan ia akan menjadi menarik,” kata Roelant.

Dalam pada itu, aksi New Zealand menentang Kanada akan berlangsung pada pukul 4 petang dan ia pastinya akan memberi cabaran untuk kedua-dua pasukan menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca panas di Malaysia yang mencecah 31 darjah Celcius, manakala keadaan cuaca di negara mereka lebih sejuk.

Cuaca di New Zealand ketika ini adalah 12 darjah Celcius dan ketua jurulatih New Zealand, Grey Nicol mengakui perubahan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada pemain-pemainnya tetapi inilah cabaran yang perlu ditempuhi.

“Cuaca panas di sini berbanding di New Zealand tetapi inilah cabaran yang perlu cepat suaikan diri. Kami akan cuba bermain sebaik mungkin di sini,” jelasnya.

Bagi pengendali Kanada, Patrick Tshutshani mengakui pasukan ini kembali dibentuk selepas beberapa pemain mengumumkan persaraan.

“Pasukan kali ini dibarisi pemain-pemain muda dengan ada beberapa pemain yang bermain di Piala Dunia Remaja (2023). Jadi kami melihat ke depan dan gembira untuk beraksi di kejohanan ini,” ujarnya.

Sementara itu, pertemuan Jepun dan Korea Selatan juga dijangka berlangsung sengit meskipun kedua-dua pasukan itu turut membentuk pasukan baharu.

Wakil Jepun, Tomohiro Chujo menjelaskan Korea Selatan bukan pasukan yang mudah untuk diatasi tetapi pasukanya memiliki perancangan untuk mengharungi perlawanan itu.

“Korea Selatan pasukan yang kuat dan kami ada pelan untuk menghadapi mereka. Untuk perlawanan pertama ia penting dan kita lihat sejauh mana pemain-pemain mengikut strategi yang dirangka,” katanya.

Korea Selatan yang juga merupakan juara tiga kali pada kejohanan itu dengan kali terakhir melakukannya pada 2019, diakui oleh ketua jurulatihnya Min Taeseok bahawa pasukannya sudah bersedia untuk memulakan saingan PSAS esok.

“Kami sudah sedia dan tidak sabar untuk turun beraksi. Kami gembira berada di sini dan akan cuba memberi aksi terbaik sepanjang kejohanan,” jelasnya.

 

Tags: