Piala Asia B-18: Malaysia Berpesta Gol Tewaskan Indonesia

Skuad Hoki Lelaki Bawah 18 (B-18) tahun negara tampil lebih garang pada aksi kedua Kumpulan B Piala Asia Lelaki B-18 selepas membelasah Indonesia 10-0 di Dazhou, China, hari ini.

 

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Mohd Sufian Mohamad masih mengekalkan rekod bersih selepas membuka kempen saingan dengan kemenangan 4-0 ke atas Kazakhstan, semalam.

 

Pada aksi kedua itu, Iman Faris Faizo membuka tirai jaringan selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti seawal minit ketiga permainan.

 

Memasuki suku kedua, Iman Faizo sekali lagi menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-20 dan empat minit kemudian, giliran Muhammad Safwan Salihe meledak gol bagi kedudukan 3-0.

 

Jentera serangan negara terus mengganas apabila tiba giliran Muhammad Saiful Syahfy Mohd Baddruddin mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-25, disusuli gol kelima oleh Muhammad Izz Ilhan Azrul Ridzuan dua minit kemudian.

 

Pesta gol skuad remaja negara diteruskan oleh Muhamad Hisyammudin Abdul Rani pada minit ke-44 dan Malaysia menambah empat lagi jaringan pada suku keempat menerusi Aferullsyah Ahmad Azuan Syahril (minit ke-47), Muhammad Safwan Salihe (minit ke-50 dan ke-60) untuk melengkapkan hatrik dan Muhammad Rafiq Mohamad Raze pada minit ke-54).

 

“Syukur Alhamdullilah untuk mata penuh pada aksi kedua hari ini ketika berdepan Indonesia. Pada perlawanan ini saya mengingatkan kepada para pemain untuk fokus kepada penyudah dan kita dapat menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti serta gol padang.

 

“Memang kita jangka daripada awal Indonesia akan bermain secara bertahan dan berkampung di kawasan sendiri. Perancangan dan strategi yang saya terapkan kepada pemain menjadi.

 

“Kita tidak sasarkan untuk menjaringkan jumlah jaringan yang besar tetapi pemain hari ini berjaya melakukannya dengan memperolehi 10 gol,” katanya.

 

Selepas ini, Malaysia akan meneruskan perlawanan ketiga berdepan Taiwan pada pukul 8.30 pagi, Ahad ini sebelum berdepan dua lagi pasukan iaitu Jepun serta Uzbekistan bagisaingan peringkat Kumpulan B.

 

Juara dan naib juara kumpulan akan mara ke separuh akhir dan Malaysia meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok empat terbaik.

 

Skuad remaja B-18 negara ketika ini memimpin Kumpulan B dengan mengutip enam mata menerusi dua kemenangan dan mengumpul 14 gol tanpa dibolosi.