Tidak adil untuk meletakkan semua kesalahan kepada pasukan kejurulatihan, sedangkan prestasi hambar yang dipamerkan Skuad Hoki Kebangsaan turut perlu digalas bersama para pemain, kata kapten Speedy Tigers, Muhammad Marhan Mohd Jalil.

Menurut pemain berpengalaman berusia 34 tahun itu, sebagai pemain dia perlu pikul tanggungjawab tersebut dan berjanji untuk bangkit dalam kejohanan pada masa akan datang.

“Bagi saya untuk letak kesalahan kepada pasukan kejurulatihan memang tidak adil, para pemain yang bermain di atas padang perlu pikul tanggungjawab ini dan berjanji untuk bangkit.

“Hanya masa akan menentukan Skuad Hoki Negara dapat bermain lebih baik pada masa akan datang,” katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur selepas pulang dari Hulunbair, Inner Mongolia, China, hari ini.

Marhan berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai prestasi hambar Malaysia sewaktu menyertai Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia Moqi 2024 di Hulunbair yang berakhir, minggu lalu.

Speedy Tigers menamatkan aksi mereka pada kejohanan itu di kedudukan keenam setelah tewas 2-4 kepada Jepun menerusi penentuan shoot-out apabila kedua-dua pasukan terikat 4-4 dalam 60 minit perlawanan sebenar.

Marhan berkata, Ketua Jurulatih, Sarjit Singh mempunyai masa selama 18 bulan untuk menjadikan Speedy Tigers lebih mantap dan mendapatkan keputusan yang positif.

Jelasnya, pemain-pemain muda yang sedia ada pada pandangannya telah mempamerkan tahap prestasi yang memberangsangkan.

“Mungkin persembahan mereka masih belum sampai tahap yang sepatutnya, jadi, kita perlu bekerja keras lagi dan banyak kerja rumah yang perlu kita lakukan terutama kualiti fizikal dan prestasi di padang.

“Untuk saya sebagai sebagai ketua pasukan dan pemain berpengalaman, saya akan cuba bantu barisan kejurulatihan supaya di masa akan datang kita ada mentaliti untuk menang dan dapat keputusan positif,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai kelemahahan skuad negara sewaku beraksi di Hulunbair, Marhan memberitahu, benteng pertahanan Malaysia perlu beraksi lebih mantap agar pasukan lawan tidak mudah menggugat pintu gol Speedy Tigers.

“Daripada segi pukulan sudut penalti juga perlu diperbaiki sewaktu kita sedang bertahan dan juga menyerang, perkara ini masih lagi dalam proses penambah baikkan dan saya juga tidak jangka kita dapat keputusan yang begitu teruk, di kedudukan keenam,” tambahnya.

Katanya lagi, pasukan boleh sahaja meletakkan penanda aras seperti yang dimahukan, namun, pada pengakhirannya persembahan konsisten itu yang perlu diberi penekanan agar kegagalan tidak menimpa pasukan Malaysia.

“Contohnya sewaktu Sukan Asia yang lalu, pada waktu itu kita percaya mampu buat yang terbaik, tetapi, kita tak dapat keputusan yang bagus pun, jadi, banyak faktor yang perlu diperbaiki agar pada masa akan datang kita mampu beraksi lebih konsisten sewaktu bermain dalam pertandingan,” tegas Marhan.

Tags: