TNB MIHL 2025 edisi Ke-4 Lahirkan Juara Baharu

Kejohanan TNB Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia (MIHL) 2025, Edisi Ke-4 yang menutup tirai semalam menyaksikan kejuaraan menjadi milik pasukan baharu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan PDRM Blue Warriors.

 

Kategori lelaki menyaksikan perlawanan sengit dan penuh drama ditampilkan antara TNB dan Maybank dalam perlawanan akhir di Dewan Sri Putra sehingga pemenang terpaksa ditentukan menerusi penalti shoot-out selepas masa permainan sebenar berakhir dengan keputusan 3-3.

 

Keputusan 2-1 berpihak kepada TNB dalam penentuan tersebut sekaligus menjulang mereka sebagai juara edisi keempat.

 

Pada perlawanan itu, Maybank terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-7 menerusi penyudah pukulan sudut penalti Mohammad Kamarulzaman Kamaruddin.

 

Maybank yang juga juara bertahan edisi lalu, terus menggandakan jaringan menerusi Shahmie Irfan Suhaimi pada minit ke-14 dan Muhamad Izham Azhar tiga minit kemudian untuk mendahului 3-0 pada suku kedua.

 

Bagaimanapun bermula suku ketiga dan keempat, TNB bangkit dengan tiga gol menerusi Muhamad Aminudin Mohd Zain, Muhammad Nursyahmi Zulkifli dan Wan Haziq Hisyamuddin Wan Ameer Ruzman.

 

Pengendali TNB, Muhammad Madzli Ikmar Mohd Nor memuji semangat juang anak buahnya yang tidak putus asa walaupun ketinggalan tiga gol pada suku kedua dan Maybank memberi tentangan sengit.

 

Katanya, ketenangan dan disiplin tinggi ditunjukkan pasukannya menyaksikan kejuaraan MIHL 2025 menjadi milik TNB buat kali pertama.

 

“Pemain telah bermain dengan disiplin dan seperti apa kita rancang. Pemain bermain lebih tenang dan tidak kelam kabut walaupun ketinggalan tiga gol.

 

“Maybank miliki banyak peluang terhidang tetapi kita bertahan dengan lebih baik berbanding permainan sebelum ini. Alhamdulillah, ini tugasan pertama saya selaku ketua jurulatih.

 

“Dengan bantuan pemain dan pengurusan pasukan sehingga berjaya menjadi juara,” kata Madzli.

 

Kedudukan ketiga menjadi milik Terengganu Hockey Team (THT) yang menewaskan Armed Forces HT 5-1.

 

Sementara itu, bagai kategori wanita, pendatang baharu PDRM Blue Warriors muncul juara MIHL 2025 selepas menang 5-2 ke atas BNHC KL.

 

Dalam perlawanan itu, lima gol diraih PDRM Blue Warriors disumbang oleh Iren Hussin pada minit ke-7, Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun (m-12), Fatin Shafika Mahd Sukri (m-15, m-38) dan Nur Afiqah Syahzani Azhar (m-17) manakala dua gol BNHC KL menerusi Fazilla Sylvester Silin (m-14, m-32).

 

Juara musim lalu, DBKL HT pula  menamatkan saingan musim ini ditempat ketiga selepas menewaskan MOHC-MHA 2-0.

 

Senarai Penuh Pemenang Anugerah Edisi Ke-4

 

– Kategori Lelaki

Juara : Tenaga Nasional Berhad

Naib Juara : Maybank

Tempat Ke-3 : Terengganu HT

 

– Kategori Wanita

Juara : PDRM Blue Warriors

Naib Juara : BNHC KL

Tempat Ke-3 : DBKL HT

 

– Anugerah Khas

Fairplay Lelaki : Maybank

Fairplay Wanita : CS Mustang

 

Penjaga Gol Terbaik Lelaki : Mohamad Hamiz Mohd Ahir (TNB)

Penjaga Gol Terbaik Wanita : Fitrinur Amiera Ramlee (BNHC KL)

 

Penjaring Gol Terbanyak Lelaki : Muhamad Izham Azhar – Maybank (26 Gol)

Penjaring Gol Terbanyak Wanita : Iren Hussin – PDRM Blue Warriors (20 Gol)

 

Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Lelaki : Mohamad Ashran Hamsan (Maybank)

Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Wanita : Raja Norsharina Raja Shabudin (PDRM Blue Warriors)