Sikap kepimpinan dipamerkan kapten skuad kebangsaan, Marhan Jalil telah membantu Negeri Sembilan yang mempertaruhkan rata-rata ‘ubi muda’ melakar kemenangan berharga ke atas Sabah 2-1 dalam aksi Kumpulan B TNB Piala Tun Abdul Razak 2024 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Baharu, semalam.

Kemenangan itu meletakkan skuad bimbingan G. Kavin Kartik di tangga ketiga, setelah mengumpul tujuh mata daripada dua kemenangan, sekali seri dan sekali kalah.

Berdepan Sabah yang mendapat bantuan tiga pemain Speedy Tigers iaitu penjaga gol, Adrian Andy Albert, penyerang, Muhajir Abdu Rauf dan Shello Silverius, misi memburu tiga mata penuh tidak mudah.

Namun, Negeri Sembilan yang cukup berani menurunkan barisan pemain remaja yang ada di antara mereka berusia sekitar 16 dan 17 tahun, mengejutkan Sabah apabila menyumbat gol pendahuluan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Marhan pada minit ke-24.

Bagaimanapun, Muhajir telah membantu Sabah mengikat Negeri Sembilan 1-1 juga melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-43.

Anak-anak buah Kavin yang tidak mengenal erti putus asa sekali lagi menggegar pintu gol Sabah apabila pemain berusia 19 tahun, Shafy Shahymm Huzzeini Sharul Azran Huzzeini meledakkan gol kemenangan pasukannya pada minit ke-55.

Kavin ketika ditemui selepas perlawanan melahirkan rasa gembira terhadap persembahan para pemainnya yang mempamerkan peningkatan berbanding perlawanan-perlawanan sebelum ini.

“Satu persembahan yang baik dipamerkan para pemain, banyak perubahan yang mereka tunjukkan sejak perlawanan pertama kami, saya dapat berasakan sikap positif itu,” katanya.

Beliau percaya, Negeri Sembilan kini kembali meletakkan diri mereka di dalam kancah persaingan dan berharap anak-anak buahnya mampu mengekalkan momentum kemenangan dalam dua perlawanan terakhir nanti.

Negeri Sembilan yang pernah merangkul gelaran sebanyak empat kali (1965, 1967, 1975 dan 1977) akan menentang Terengganu pada 7 Oktober dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 8 Oktober ini.

Sementara itu, dalam pertemuan lain Kumpulan B, Terengganu mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas mengekalkan rekod tanpa kalah membenam Melaka 4-0.

Selaku pendahulu Kumpulan B, Terengganu kini mengumpul 12 mata dengan empat kemenangan.

Perak pula melonjak ke tempat kedua di belakang Terengganu, setelah mengumpul sembilan mata selepas menundukkan ATM 5-4.

Dalam aksi Kumpulan A, Perlis membelasah Singapura 8-1 dan Pahang menang tipis 1-0 ke atas Selangor, manakala, Pulau Pinang serta Kuala Lumpur seri tanpa jaringan.

Tags: