Hasrat pasukan hoki wanita negara, Malaysian Tigress untuk membalas dendam terhadap Ireland dalam aksi final Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia tidak kesampaian apabila mereka tewas 0-3 kepada pasukan itu dalam perlawanan di Stadium Hoki Tun Razak sebentar tadi.
Apapun, pasukan bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah sudah sah menempatkan diri ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia Jun ini menerusi dua slot tiket yang ditetapkan.
Ireland yang menggasak awal berada di depan menerusi satu hantaran cantik pada minit ke-7 dan pemainnya, Anna O’Flanagan mudah menolak masuk gol padang untuk Ireland mendahului Malaysia 1-0.
Malaysia mendapat peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan selepas itu apabila dihadiahkan penalti stroke pada minit ke-9 namun gagal disudahkan Nuraini Rashid.
Sebaliknya, Ireland sekali lagi menambah gol kedua juga menerusi gol padang yang dihasilkan oleh Kathryn Mullan pada minit ke-10 untuk mereka selesa mendahului Malaysia dengan jaringan 2-0.
Pada suku kedua perlawanan, Malaysia cuba merapatkan kedudukan dan memperoleh pukulan sudut penalti namun ia gagal disudahkan sekaligus menamatkan kedudukan separuh masa pertama dengan kedudukan kekal, Ireland 2-0 Malaysia.
Bermula separuh masa kedua, giliran Ireland memperoleh pukulan sudut penalti pada minit ke-35. Ianya sekali lagi tidak disia-siakan pasukan itu apabila pemainnya, Zoe Wilson berjaya menolak kencang gol ketiga untuk Ireland semakin selesa mendahului Malaysia 3-0.
Keputusan 3-0 memihak Ireland itu kekal sehingga tamat masa permainan sekaligus menobatkan mereka sebagai juara manakala naib juara menjadi milik pasukan Malaysia. Kedua-dua pasukan ini layak ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia Wanita yang dijadualkan bakal berlangsung di Belgium atau Afrika Selatan nanti.
Sementara tempat ketiga pula diraih pasukan Itali selepas pasukan itu mengatasi Wales 3-1 dalam perlawanan sebelah petang tadi. Valentina Braconi menjadi wira pasukan Itali selepas menyumbang dua gol melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-33 dan 54. Satu lagi gol Itali disudahkan Celina Traverso melalui gol padang pada minit ke-25 sementara gol tunggal Wales hadir melalui pukulan sudut penalti Sian French pada minit ke-35.
Dalam penentuan tempat ke-5/6, tempat kelima menjadi milik pasukan Thailand. Selepas pasukan itu dan Singapura terikat tanpa jaringan dalam 60 minit perlawanan, pukulan penalti shoot-out nyata lebih memihak Thailand dengan kemenangan 3-1 mengatasi Singapura.
Kazahkstan pula meraih kedudukan ketujuh apabila mereka menang 3-2 mengatasi Hong Kong dalam perlawanan yang berlangsung tengah hari tadi.
Keputusan Penuh:
FINAL: Ireland 3-0 Malaysia
Tempat 3/4: Wales 1-3 Itali
Tempat 5/6: Singapura 0-0 Thailand, *Thailand menang penalty shoot-out 3-1
Tempat 7/8: Hong Kong 2-3 Kazakhstan
Anugerah Khas:
Pemain terbaik: Anna O’Flanagan (Ireland)
Pemain muda terbaik: Hanis Onn (20 tahun, Malaysia)
Penjaga gol terbaik; Ayeisha McFerrari (Ireland)
Penjaring terbanyak; Anna O’Flanagan (12 gol, Ireland)