UniKL menjulang kejuaraan TNB Liga Hoki Malaysia (Premier) 2021 buat kali ketiga berturut-turut apabila mengatasi Maybank 1-0 pada perlawanan terakhir liga di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sekaligus menghampiri sasaran meraih kejayaan treble musim ini.
Penyerang berpengalaman negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil muncul wira UniKL selepas juara bertahan itu diikat hingga suku ketiga tanpa sebarang gol oleh Maybank yang nyata memberikan saingan hebat.
UniKL bergaya melengkapkan kempen Liga musim 2021 dengan mengekalkan rekod tanpa kalah dan jumlah 19 mata keseluruhan.
Turun dengan reputasi sebagai pilihan utama dengan rekod bersih, skuad bimbingan Megat Azrafiq Megat Termizi nyata terpaksa berhempas pulas sebelum dapat mengesahkan status juara.
Selepas saling melakukan serangan, Tengku Ahmad Tajuddin akhirnya menghadirkan kegembiraan buat kem UniKL apabila berjaya menyempurnakan tolakan dari jarak dekat dalam satu keadaan kelam kabut di hadapan gol Maybank pada minit ke-49.
Walaupun dihadiahkan dengan lima pukulan sudut penalti, UniKL gagal menembusi benteng Maybank yang nyata bermain baik dalam tiga suku pertama dan terus-terusan mengekang serangan demi serangan lawan mereka.
Selepas kejayaan menjulang Piala Sumbangsih dan Liga, sasaran UniKL untuk mencatatkan treble tampak cerah apabila bakal meneruskan cabaran ke separuh akhir Piala TNB yang berlangsung secara timbal balik bermula Ahad ini. UniKL, sebagai juara diundi bertemu pasukan yang menduduki tangga keempat.
Kecemerlangan skuad bimbingan Megat Azrafiq Megat Termizi itu tambah manis dengan kejayaan UniKL Ladies yang turut menjulang Piala TNB Liga Hoki Malaysia (Wanita) dalam penampilan mereka.
Megat Azrafiq nyata tidak dapat menahan kegembiraan dan memberi pujian buat semua pemain yang merealisasikan impian mempertahankan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut.
“Sepuluh minit terakhir amat getir dan kami tertekan kerana kami bermain dengan 10 orang dan Maybank terus memberi tekanan. Pujian kepada Maybank tetapi pemain saya berjaya menyerap tekanan.
“Pujian khususnya kepada Tengku Ahmad Tajuddin yang membuktikan keupayaan masih berbisa. Andaikata kami mempuyai lebih ramai pemain sepeti beliau, saya yakin Malaysia mampu takluki hoki dunia,” kata beliau.
Megat Azrafiq berkata tugas seterusnya memastikan Piala TNB yang bermula dengan saingan separuh akhir Ahad ini dalam genggaman. “Tetapi malam ini, seluruh pasukan mahu meraikan kejayaan manis ini.”
Wira UniKL Tengku Ahmad Tajuddin nyata lega dan gembira tetapi memberikan pujian pada Maybank yang memberikan tentangan sengit. “Kami tidak bermain agak baik berbanding perlawanan-perlawanan lepas, tetapi yang penting ialah menang akhirnya. Maybank harus dipuji, nyata mereka lawan yang kuat,” kata beliau.
THT 4 – 1 TNB
Bekas juara Terengganu Hockey Team (THT) terpaksa akur dengan status sebagai naib juara selepas melengkapkan kempen Liga dengan kemenangan 4-1 ke atas TNB.
Penyerang kebangsaan Faizal Saari menghadirkan sedikit kegembiraan buat THT apabila menjaringkan hatrik untuk mengemudi kemenangan THT. Faizal juga muncul sebagai penjaring terbanyak Liga dengan jumlah 14 gol daripada keseluruhan tujuh perlawanan.
Kegagalan untuk mengulangi kejayaan terakhir yang diraih pada 2018 itu pasti perit untuk ditelan, apatah lagi apabila nasib mereka terpaksa ditentukan oleh UniKL yang sebelum itu sudah mengesahkan kejuaraan apabila mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Maybank.
THT mengejutkan TNB menerusi gol awal Akhimullah Anuar Esook pada minit keenam sebelum Faizal melebarkan jurang sebelum tamat separuh masa pertama menerusi jaringan padang minit ke-28.
Faizal sekali lagi memastikan kemenangan mutlak THT apabila meledak dua lagi gol yang juga merupakan jaringan hatrik menerusi pada minit ke-39 dan ke-58 sebelum Muhammad Muhibudin Moharam merapat jurang buat TNB pada minit ke-51.
Jurulatih THT K. Rajan menganggap kemenangan itu tetap penting biarpun pemain agak kecewa kerana tidak dapat menjuarai Liga.
“Keputusan yang memuaskan malam ini kerana bukan mudah menjaringkan empat gol ke atas TNB. Kemenangan ini juga penting sebagai bekalan untuk memberi saingan lebih sengit dalam Piala TNB nanti terutamanya kerana kami beraksi dengan format timbal balik nanti,” kata Rajan.
UITM HA 3 – 2 SABAH
UITM HA mengekalkan kedudukan ke-5 keseluruhan selepas mengatasi Sabah 3-2 pada perlawanan terakhir Liga sekaligus mengulangi kedudukan sama seperti musim lepas.
Skuad kendalian Mohd Nor Akmal Ghaffar terpaksa akur terlepas tiket ke separuh akhir Piala TNB dan perlu kembali mengatur perancangan untuk kembali dengan skuad yang lebih mantap pada musim depan.
Selepas tanpa jaringan pada suku pertama, penyerang UITM HA menemui sentuhan pada suku kedua menerusi jaringan sudut penalti Nor Nashriq Farhan Nor Amin pada minit ke-16.
Dua gol pada suku ketiga menerusi Danial Asyraf Abdul Ghani (minit ke-31) dan Muhammad Hafiizhuddin Zaidi pada minit ke-49 memastikan kemenangan dan kedudukan UITM kekal hingga akhir perlawanan biarpun Sabah cuba bangkit menerusi dua gol Baljit Singh pada minit ke-49 dan 56.
TNB Thunderbolts 2 – 0 Nurinsafi HT/Sports
Barisan muda TNB Thunderbolts mengakhiri kempen dengan mencatat kemenangan ke atas Nurinsafi HT/Sports yang merupakan kemenangan kedua Liga sekaligus menamatkan musim 2021 di kedudukan ke-6 keseluruhan.
Dua jaringan, masing-masing di separuh masa pertama dan kedua oleh Muhammad Faris Harisan pada minit ketujuh dan Muhammad Syahir Hasif Harun (minit ke-47) memastikan enam mata keseluruhan buat TNB Thunderbolts.
Nurinsafi HT terpaksa akur terperosok di tangga terbawah Liga selepas tewas kesemua perlawanan musim ini.
KEPUTUSAN PENUH:
UniKL 1 – 0 Maybank
UiTM 3 – 2 Sabah
TNB 1 – 4 THT
TNB Thunderbolts 2 – 0 Nurinsafi HT
JADUAL PERLAWANAN PIALA TNB
Ahad , 25 Mac 2021
UniKL mln TNB (8 mlm) NHS 1
THT mln Maybank (8 mlm) NHS 2