Penalti Stroke Beri Kelebihan Buat UniKL

Jaringan penalti stroke Tengku Ahmad Tajudddin Tengku Abdul Jalil pada suku keempat memberi kelelebihan buat UniKL yang mencatat kejayaan tipis 1-0 ke atas TNB pada separuh akhir pertama Piala TNB 2021 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Ketika perlawanan tampak menuju penamat tanpa sebarang gol, UniKL melancarkan serangan balas pantas dari bawah menerusi tolakan jauh yang disambut kemas Pavandip Singh sebelum dirempuh di dalam kawasan gol TNB pada minit ke-56.

Pengadil tanpa ragu-ragu menghadiahkan penalti stroke dan kelebihan tersebut disempurnakan oleh Tengku Ahmad Tajuddin menerusi tolakan mudah ke kanan melepasi penjaga gol TNB, Che Sharul Asmi Che Saupi.

Kemenangan itu pasti memberi sedikit kelebihan psikologi kepada UniKL yang dijangka berdepan dengan tentangan lebih sengit pada separuh akhir kedua Rabu ini.

Walaupun permainan nampak seimbang, TNB dilihat lebih banyak menguasai gerakan dengan larian dan percubaan bahaya termasuk peluang terbuka di depan gol dari Muhajir Abd Rauf pada suku ketiga.

Tiga suku pertama menyaksikan kedua-dua pasukan buntu tanpa jaringan walaupun saling berbalas serangan.

Corak permainan nyata lebih kemas dengan benteng yang sukar ditembusi terutamanya aksi cemerlang penjaga gol kedua mereka Che Sharul yang berjaya menidakkan beberapa percubaan bahawa barisan serangan UniKL seperti Tengku Ahmad Tajuddin, Pavandip dan fliker negara, Muhammad Razie Abd Rahim.

Jurulatih UnikL, Megat Azrafiq Megat Termizi berkata kemenangan tipis itu belum boleh menjamin tiket ke final tetapi mampu memberi kesan positif dan dijadikan bekalan untuk mempamerkan permainan lebih meyakinkan Rabu ini.

“Satu gol bukanlah satu bekalan yang cukup kerana TNB mampu bangkit semula untuk memberikan tentangan. Tetapi apa yang penting, untuk baki 60 minit nanti, pemain perlu kekal fokus dan bermain mengikut strategi yang ditetapkan,” kata beliau.

Bagi pengendali TNB Nor Azlan Bakar, kegagalan melakukan penyudahan sekali lagi menjadi penyebab dan kelemahan pasukan.

“Permainan nyata seimbang, saya puashati terutamanya dari segi pertahanan dan serangan tetapi penyudahan begitu menghampakan, jadi untuk 60 minit nanti, pemain perlu turun dengan lebih yakin,” kata beliau.

THT 2 – 0 Maybank 

Jaringan Shello Silverius dan Mohd Fitri Saari pada setiap separuh masa mengatasi cabaran Maybank 2-0 pada separuh akhir pertama malam ini memberikan THT bekalan agak selesa untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala TNB 2021.

Shello meledak gol dari gerakan padang pada minit ke-22 manakala Fitri Saari memastikan kemenangan berpihak kepada bekas juara 5 kali itu untuk dibawa ke separuh akhir kedua pada Rabu ini.

Namun, Maybank bukan lawan mudah mudah kerana THT terpaksa mengerah kudrat mereka di tahap maksimum untuk membolosi gawang lawan.

Maybank, yang semakin menujukkan peningkatan, mempamerkan corak permainan kemas tetapi THT yang dikemudi penjaring terbanyak Faizal Saari dibarisan hadapan sentiasa bergerak pantas untuk percubaan menembusi benteng Maybank.

Walaupun dengan kelebihan dua gol, THT masih belum boleh menarik nafas lega kerana baki 60 minit permainan pada Rabu ini mampu menghadirkan pelbagai kemungkinan.

Jurulatih THT, K. Rajan puas hati dengan prestasi pemainnya tetapi menganggap dua gol yang diraih masih belum selesa dan bukan kelebihan besar.

“Permainan masih belum berakhir dan kami akan meneliti video permainan selepas ini untuk memperbaiki apa juga kelemahan,” jelasnya.

JADUAL PERLAWANAN:

Separuh Akhir 2 (31 March)

Maybank vs THT (6pm) NHS 1

TNB vs UniKL (8 pm) NHS 1

 

PIALA VIVIAN MAY SOARS 2021

PKS UNITEN-KPT Dan PDRM Blue Warriors Terikat, UniKL Ladies menang besar

Gol daripada Nurmaizatul Hanim Syafi Fuad dan Raja Norsharina Raja Shabuddin memastikan kedudukan seri buat penyandang juara, PKS Uniten-KPT yang mengikat PDRM Blue Warriors pada separuh akhir pertama Piala Vivian May Soars di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Kedua-dua pasukan, PKS Uniten-KPT dan PDRM Blue Warriors terikat 3-3 selepas 60 minit permainan dan terpaksa menunggu empat suku permainan lagi pada Rabu ini untuk memastikan tiket ke final.

PDRM terlebih dahulu membuka jaringan apabila Ellya Amanina Ellias menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit 31.

Namun 10 minit kemudian, Nurmaizatul Hanim Syafi memastikan kedudukan terikat 1-1 hasil jaringan padang.

Serangan demi serangan PDRM Blue Warriors akhirnya membuahkan hasil dengan dua gol dijaringkan dalam tempoh tiga minit menerusi Nurfatin Dizana Mohd Zaidi pada minit ke-42 dan Wan Norfaiezah Md Saiuti pada minit ke 45.

Bagaimanapun, kegembiraan PDRM Blue Warriors tidak lama apabila Nurmaizatul Hanim sekali lagi menemui sasaran pada minit ke-46 sebelum Norsharina Raja Shabuddin menghadiahkan gol penyemaan buat PKS Uniten-KPT untuk mengikat PDRM Blue Warriors, seterusnya mengheret perlawanan untuk ditentukan pada Rabu ini.

Jurulatih PKS Uniten-KPT, Lailin Abu Hassan puas hati dengan semangat melawan pemainnya dan menggangap kebangkitan pada suku keempat malam ini merupakan turnover yang baik untuk pasukan.

“Walaupun beberapa kali ketinggalan, pemain tidak berputus asa dan menunjukkan komitmen tinggi untuk mengejar semula. Saya menganggap ini keputusan yang baik untuk separuh akhr kedua nanti,” kata beliau.

Pengendali PDRM Blue Warriors, Ahmad Nizam Yusof pula berkata secara keseluruhan kedua-dua pasukan bermain baik dan saling menyerang dan bertahan.

“Kami akui PKS Uniten-KPT pasukan yang tidak mudah mengelah, hanya kelekaan di atas padang akan membawa padah,” kata beliau.

UniKL Ladies 8 – 0  SABAH

Dalam satu lagi separuh akhir, UniKL Ladies tidak berdepan masalah membenam Sabah dengan kemenangan besar 8-0 pada separuh akhir pertama sekaligus hampir pasti melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Vivian May Soars 2021.

Jaringan hatrik Nur Afiqah Shahzani Azhar pada minit ke 18, 41 dan 56 membantu kejayaan UniKL Ladies yang sudah pun memiliki gelaran Juara TNB Liga Hoki Malaysia (Wanita) 2021.

Nuramirah Shakirah Zulkifli pula terus melebarkan jurang sebagai penjaring terbanyak setakat ini selepas menjaringkan dua gol seawal minit kedua dan minit ke-16.

Nuraini Abd Rashid (minit kelima), Khairunnisa Ayuni Sharudin (minit ke-49) dan Tuan Nur Hidayah Tuan Ismail (minit ke-51) melengkapkan kemenangan besar untuk membuka laluan UniKL Ladies tampil dalam final pertama Piala Vivian May Soars 2021 untuk penampilan sulung mereka.

Kemenangan itu sekaligus terus mengekalkan rekod bersih tanpa kalah UniKL Ladies dalam saingan musim ini termasuk lima kemenangan mutlak dalam aksi Liga.

Pengendali UniKL Ladies, Roslan Jamaluddin berkata: “Kami mempunyai kelebihan dengan kemenangan besar ini. Memang kami mencari jaringan besar untuk memudahkan tugas pada separuh akhir kedua nanti.

“Untuk perlawanan separuh kedua, mungkin pemain utama akan direhatkan untuk memberi peluang kepada pemain-pemain muda yang lain,” kata beliau.

JADUAL PERLAWANAN:

Rabu, 31 Mac:

Separuh Akhir 2

PKS Uniten-KPT mln PDRM Blue Warriors

Sabah mln UniKL Ladies