Penantian untuk muncul juara Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah berakhir apabila Skuad Senior Lelaki Kebangsaan berjaya menewaskan Korea Selatan 3-2 dalam satu pertembungan final yang dramatik di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh malam ini.
Skuad kendalian A. Arulselvaraj juga berjaya melunaskan dendam setelah tewas 0-3 kepada Korea Selatan dalam perlawanan pembukaan kejohanan ini pada 1 November lalu sebelum mempamerkan kebangkitan cemerlang dalam tiga perlawanan terakhir apabila menewaskan Mesir 4-1, Afrika Selatan 7-2 dan Jepun 4-2 untuk layak ke final.
Malaysia memulakan aksi dengan lebih berhati-hati dan cuba menyerap serangan Korea Selatan sebelum melancarkan serangan balas yang pantas.
Taktik itu berhasil pada minit ke-15 apabila hantaran dari luar kawasan “D” oleh Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal berjaya ditolak masuk oleh Shello Silverius untuk gol peribadi ke-5 dirinya dalam kejohanan ini. Shello, pemain berusia 23 tahun dari Sabah, juga dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan.
Ketinggalan satu gol, Korea Selatan mula mengasak dengan meningkatkan tempo perlawanan untuk mencari gol penyamaan dalam suku kedua. Dari pukulan sudut penalti ketiga mereka seminit selepas suku kedua bermula, gol penyamaan dihasilkan oleh Jang Jonghyun.
Kedudukan terikat berakhir separuh masa pertama dan Malaysia bermula lebih garang sebaik saja suku ketiga bermula.
Pada minit ke-45, Malaysia dihadiahkan pukulan penalti strok apabila pemain Korea Selatan melakukan kekasaran dari belakang ke atas Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi. Penalti strok itu disempurnakan dengan tenang oleh pemain berpengalaman negara, Muhammad Razie Abd Rahim.
Masuk ke 15 minit terakhir, Korea Selatan cuba mengejar gol penyamaan namun Malaysia berjaya menyerap serangan bertali arus sambil melancarkan beberapa penetrasi ke dalam kawasan “D” lawan.
Tiga minit kemudian, dalam satu gerakan dari kanan pintu gol Korea Selatan, hantaran lintang dari Nik Muhammad Aiman yang berlalu di hadapan pintu gol Korea Selatan berjaya ditolak masuk oleh Muhammad Aminuddin Mohd Zain untuk meletakkan Malaysia selesa di hadapan dengan jaringan 3-1.
Menuju babak-babak akhir perlawanan, Korea Selatan melakukan beberapa serangan bahaya untuk merapatkan jurang jaringan dan keadaan lebih mencemaskan apabila Korea Selatan menjaringkan gol kedua mereka pada minit ke-58 melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Jeon Byungjin.
Kubu pertahanan Malaysia walaubagaimanapun berjaya bertahan dalam tiga minit terakhir dan kemenangan 3-2 Malaysia ke atas Korea Selatan menutup Kejohanan edisi ke-29 itu.
Coach Arulselvaraj menyifatkan fokus dan penerimaan yang baik oleh pemain-pemain untuk menganalisa dan memperbaiki kesilapan menyaksikan mereka berjaya bangkit dari permulaan yang agak goyah apabila tewas kepada Korea Selatan dan kemudian hanya mampu seri 1-1 melawan pasukan muda Pakistan.
“Tahniah kepada pemain-pemain kerana berjaya memperbaiki permainan dan melaksanakan apa yang dirancang dengan baik. Dalam final ini, kami dapat lihat apa yang ditampilkan oleh pemain tidak seperti tiga perlawanan sebelum ini di mana kami bermula dengan menyerang dan menekan pihak lawan, jadi saya mengarahkan mereka untuk bermain seperti itu dalam suku ketiga dan keempat,” kata Arul.
“Kejayaan ini juga adalah hasil sumbangan secara berpasukan dari ramai pihak yang berada di sebalik tadbir. Dalam hoki moden ini, kami amat perlu pasukan sokongan seperti Pegawai Sains Sukan, perubatan, penganalisis, pakar nutrisi dan sokongan yang lengkap ini akan membolehkan kami bermain pada tahap yang sangat tinggi seperti yang diperlukan.”
Tambah Arulselvaraj, walaupun kejayaan yang bersejarah telah tercipta dalam Piala Sultan Azlan Shah, objektif utama pasukan adalah persiapan ke arah Piala Dunia di India pada 13 hingga 29 Januari nanti.
“Kami cuma akan berehat selama dua hari dan terus kembali ke latihan. Para pemain akan melalui lagi satu sesi pemilihan sebelum kami menetapkan perancangan kami untuk Piala Dunia,” kata Arul.
Sementara itu, dalam perlawanan klasifikasi tempat ke-5 dan ke-6 Mesir menewaskan Afrika Selatan 2-1, manakala Pakistan berjaya menamatkan kejohanan di tempat ke-3 setelah menewaskan Jepun 5-3.