Speedy Tigers mengesahkan tempat bermain di penentuan tempat ketiga dan keempat selepas menewaskan Korea Selatan 1-0 pada aksi terakhir pusingan round robin Piala Sultan Azlan Shah, hari ini.

Sebelum perlawanan bermula, Syed Syafiq Syed Cholan serta Norsyafiq Sumantri diumumkan sebagai pemain Malaysia yang berjaya merekodkan 100 dan 102 caps untuk pasukan hoki lelaki negara.

Beraksi di depan hampir 5,000 penyokong yang memenuhi setiap tempat duduk Stadium Azlan Shah, skuad hoki lelaki negara memperagakan corak permainan pantas dan bertenaga.

Selepas beberapa percubaan dilakukan ke gawang Korea Selatan, akhirnya tolakan deras penyerang negara, Akhimullah Anuar Esook menerusi gol padang, berjaya merobek gawang dikawal oleh Kim Jaehyeon pada minit ketujuh.

Tersentak dengan jaringan itu, Korea Selatan menguji gawang Malaysia dengan deretan pukulan sudut penalti diperolehi mereka berjumlah 12 kali sepanjang perlawanan namun buntu membolosi gawang negara yang dikawal Muhammad Hafizuddin Othman.

Sementara itu, Malaysia yang memiliki tujuh pukulan sudut penalti keseluruhan turut berdepan kesukaran menterjemahkan peluang itu dalam bentuk jaringan.

Keputusan berkenaan menyaksikan Speedy Tigers mencatat kemenangan ketiga daripada lima perlawanan pusingan round robin PSAS edisi ke-30 itu.

Empat perlawanan sebelum itu, Malaysia tewas 4-5 kepada Pakistan namun bangkit membelasah Kanada 6-2 dan mengejutkan New Zealand 6-4, sebelum tewas tipis 1-2 kepada Jepun.

Bagi ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Sarjit Singh mengakui permainan ditunjukkan anak buahnya pada perlawanan ini adalah yang paling teruk namun bernasib baik keputusan memihak kepada Malaysia.

Tambahnya, pujian harus diberikan kepada penjaga gol, Hafizuddin yang banyak melakukan aksi menyelamat bagi memastikan gawang gol Malaysia tidak dibolosi.

“Saya rasa ini adalah permainan yang paling teruk sekali kita bermain, lawan juga bermain baik. Kita terlalu banyak berlari dengan bola dan pemain tidak membuka ruang sepatutnya.

“Sekali lagi kita mempunyai banyak peluang tetapi gagal menyudahkannya. Kita juga bernasib baik kerana Korea Selatan mempunyai banyak pukulan sudut penalti tetapi penjaga gol kita bermain dengan sangat baik. Kita tidak gembira dengan permainan tetapi gembira dengan keputusan.

“Kita mempunyai masalah sama pada perlawanan sebelum ini iaitu gagal menyudahkan peluang tapi ini merupakan perlawanan kelima untuk pasukan yang baru dibentuk ini, jadi saya rasa ia akan bertambah baik dari semasa ke semasa,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Esok, Malaysia akan bertemu New Zealand buat kali ketiga sepanjang minggu ini bagi penentuan tempat ketiga dan keempat.

Dua keputusan sebelum ini memihak kepada Malaysia dengan perlawanan persahabatan menyaksikan Speedy Tiger menewaskan New Zealand 3-2 pada 1 Mei dan meraih kemenangan 6-4 pada aksi pusingan round robin, Selasa lalu.

“Esok kita akan menghadapi satu lagi perlawanan yang sukar dan ia bukan mudah bertemu New Zealand, harap kita dapat bangkit.

“Ia bukan mengenai keyakinan, apa sahaja boleh berlaku…kita menang dua kali dan tidak mudah untuk melakukan untuk kali ketiga. Kita dapat tengok mereka kembali beraksi dengan baik selepas tewas kepada Jepun, anda boleh lihat,” ujarnya.

Dalam pada itu, pengendali Korea Selatan, Min Taeseok memuji semangat melawan dipamerkan anak buahnya sepanjang perlawanan namun ketumpulan menyudahkan deretan peluang menjadi pemisah kepada kedua-dua pasukan.

“Kami bermain lebih baik daripada hari ke hari cuma dikecewakan dengan kegagalan menyempurnakan pukulan sudut penalti.

“Semua pemain bermain dengan baik dan menunjukkan semangat melawan cukup tinggi pada perlawanan ini, begitu juga Malaysia. Mereka menekan kami berterusan tetapi pertahanan kami berjaya menyekat mereka daripada menambah gol,” jelasnya.

Tags: